Kolam Renang UPSI ‘Light Up’ Malam Warga Kampus


Waktu Operasi Baharu Kolam Renang di UPSI

Oleh : Adlin Fadhlina 

TANJONG MALIM, 18 Mei 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris terus komited dalam menyediakan kemudahan terbaik kepada warga kampus apabila kolam renang universiti kini dibuka sehingga waktu malam bagi memberi peluang kepada pelajar dan staf menjalankan aktiviti riadah dengan lebih selesa dan fleksibel.

Pembukaan kolam renang pada waktu malam ini melibatkan kemudahan di sekitar kampus yang sering menjadi tumpuan warga UPSI untuk aktiviti sukan air, rekreasi dan kecergasan. Langkah ini dilihat mampu membantu pelajar yang mempunyai jadual kuliah padat pada waktu siang untuk tetap menjalani gaya hidup sihat.

Suasana kolam pada waktu malam yang lebih nyaman dan tenang turut menjadi tarikan kepada pengguna. Dengan pencahayaan yang baik serta persekitaran yang selamat, ramai pelajar mengambil peluang untuk berenang dan meluangkan masa bersama rakan-rakan selepas tamat sesi pembelajaran.


Kemudahan ini juga digunakan bagi tujuan latihan sukan, aktiviti kokurikulum serta program rekreasi universiti. Pembukaan sehingga malam diharap dapat menggalakkan lebih ramai warga kampus untuk aktif bersukan di samping menjaga kesihatan fizikal dan mental.

Rata-rata pelajar menyambut baik inisiatif tersebut kerana ia memberi ruang untuk mereka berehat dan mengurangkan tekanan selepas seharian menghadiri kuliah serta menyiapkan tugasan akademik.

Melalui usaha ini, UPSI membuktikan komitmennya dalam mewujudkan persekitaran kampus yang lebih kondusif dan mesra pelajar. Diharapkan semua pengguna dapat menjaga kebersihan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan demi keselesaan bersama.

“Kesihatan yang baik bermula dengan gaya hidup aktif dan persekitaran kampus yang sejahtera.”