Oleh : Nur Aina Nabila & DR Ahmad Saufiyyan
Tanjong Malim, 28 April 2026 - Universiti Pendidikan Sultan Idris sekali lagi menjadi tumpuan pelajar dan ibu bapa apabila penganjuran Karnival Jom Masuk U berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung dari pelbagai kawasan. Program yang berlangsung dengan suasana meriah itu memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah untuk mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan tinggi serta pilihan universiti yang sesuai dengan minat masing-masing.
Pelbagai agensi pendidikan, universiti awam dan universiti swasta telah membuka reruai bagi membantu para pengunjung memahami syarat kemasukan, pilihan kursus serta peluang pengajian yang ditawarkan. Kehadiran pelajar sekolah dari pelbagai negeri turut memeriahkan lagi suasana program apabila sebanyak 99 buah bas dilaporkan membawa rombongan pelajar ke karnival tersebut.
Selain pelajar, ramai ibu bapa turut hadir bersama anak-anak bagi mendapatkan pendedahan awal mengenai hala tuju pendidikan selepas tamat persekolahan. Kehadiran mereka jelas menunjukkan sokongan dan keprihatinan terhadap masa depan anak-anak dalam memilih institusi pengajian tinggi yang terbaik.
Suasana di sekitar karnival juga sangat meriah dengan pelbagai aktiviti menarik seperti cabutan bertuah, sesi interaktif di reruai pameran serta gerai makanan yang disediakan di kawasan luar program, lawatan ke sekitar kawasan Universiti tersebut. Pengunjung dilihat mengambil peluang untuk berkunjung ke setiap reruai sambil mendapatkan pelbagai informasi berkaitan pendidikan dan syarat-syarat khas untuk memohon setiap bidang yang diminati.
Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ditemui berkata bahawa program tersebut memberikan pengalaman yang menyeronokkan dan sangat membantu dirinya membuat pilihan universiti.
“Saya seronok datang ke karnival ini sebab dapat belajar benda baharu dan lebih mudah untuk membuat pilihan universiti awam yang sesuai dengan minat saya,” katanya.
Secara keseluruhannya, Karnival Jom Masuk U di UPSI bukan sahaja berjaya memberikan informasi berkaitan pendidikan tinggi kepada pelajar dan ibu bapa, malah turut mewujudkan suasana yang positif, mesra dan bermanfaat kepada semua pengunjung yang hadir untuk memilih masa depan mereka yang lebih cerah.