Selamat Hari Guru : UPSI Membina Impian, Pelajar Menggapai Masa Depan

 

( Pelajar sekolah menengah menulis kerjaya yang ingin mereka capai )


Oleh Muhammad Azim Syafiq dan Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hassan

TANJUNG MALIM, 16 Mei – Sambutan Hari Guru bukan sahaja menjadi medan penghargaan kepada warga pendidik malah mengingatkan masyarakat tentang besarnya peranan guru dalam membentuk cita-cita dan masa depan pelajar. Termasuk warga pendidik dan mahasiswa pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Melalui suasana pembelajaran yang positif dan penuh galakan, guru menjadi individu penting dalam membantu pelajar mengenali potensi diri serta berani mengejar impian yang diinginkan. Setiap nasihat, tunjuk ajar dan pengorbanan yang diberikan oleh guru menjadi pemangkin kepada kejayaan anak didik di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. 

Sebagai universiti pendidikan terulung negara, UPSI memainkan peranan penting dalam melahirkan bakal guru yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah mempunyai semangat mendidik serta jiwa kepimpinan yang tinggi. Pelbagai program dan latihan pendidikan yang dijalankan di universiti itu menjadi platform kepada mahasiswa untuk memahami tanggungjawab sebenar seorang pendidik.

(Pelajar lebih memilih kerjaya sebagai guru untuk diri mereka berbanding kerjaya lain)

Hari Guru bukan sekadar sambutan tahunan tetapi menjadi peringatan tentang besarnya pengorbanan guru dalam membentuk masa depan generasi muda. Melalui bimbingan dan tunjuk ajar pensyarah serta guru pelatih, mahasiswa UPSI didedahkan dengan nilai kesabaran, kreativiti dan keikhlasan dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

Seorang mahasiswa UPSI berkata, bidang pendidikan bukan sekadar kerjaya tetapi amanah besar dalam membentuk anak bangsa.

“Guru bukan hanya mengajar di dalam kelas tetapi menjadi pembimbing dan sumber inspirasi kepada pelajar untuk mencapai cita-cita mereka,” katanya.

Dalam usaha melahirkan guru berkualiti, UPSI turut menitikberatkan pembangunan sahsiah, kemahiran komunikasi dan penggunaan teknologi dalam pendidikan agar graduan mampu menyesuaikan diri dengan cabaran dunia pendidikan moden. Sambutan Hari Guru tahun ini juga menjadi pembakar semangat kepada mahasiswa pendidikan UPSI untuk terus berusaha menjadi pendidik yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.

Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik yang terus berbakti mendidik anak bangsa tanpa mengenal erti penat dan lelah.

( “Saya bakal jadi cikgu!” keazaman yang ditulis oleh pelajar sekolah menengah)