(kawasan kolej penempatan pelajar UPSI)
Oleh Muhammad Azim Syafiq dan Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hassan
TANJUNG MALIM, 11 Mei – Isu kekurangan kapasiti kolej kediaman di Universiti Pendidikan Sultan Idris terus menjadi perhatian apabila ramai pelajar dilaporkan gagal memperoleh penempatan untuk sesi pengajian semasa. Keadaan tersebut menyebabkan sebahagian pelajar terpaksa mencari rumah sewa di luar kampus sekaligus meningkatkan beban kos sara hidup mereka. Peningkatan jumlah kemasukan pelajar setiap pengambilan pelajar baru dilihat tidak seiring dengan kapasiti kolej kediaman yang disediakan oleh pihak universiti. Situasi ini menyebabkan persaingan mendapatkan tempat di kolej menjadi semakin sengit yang melibatkan pelajar semester 4 dan keatas. Akibatnya, ramai pelajar terpaksa menyewa rumah atau bilik di luar kampus dengan kadar sewa yang semakin mahal di sekitar kawasan Tanjung Malim, Perak.
Bagi kebanyakan pelajar, tinggal di luar kampus bukan sahaja memerlukan kos sewa bulanan malah turut melibatkan perbelanjaan tambahan seperti bil utiliti, pengangkutan, makanan dan internet. Keadaan ini memberi tekanan kepada pelajar, khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah yang bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan atau pinjaman pendidikan. Selain faktor kewangan, pelajar juga berdepan cabaran dari segi masa dan keselamatan. Ada antara mereka yang perlu berulang-alik dari kawasan jauh untuk menghadiri kuliah setiap hari. Situasi ini menyebabkan pelajar mudah keletihan dan sukar memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran. Tambahan pula, terdapat pelajar yang terpaksa berkongsi rumah dalam jumlah yang ramai demi mengurangkan kos sewa sekaligus menjejaskan keselesaan dan privasi mereka.
Menurut beberapa pelajar, penempatan kolej amat penting kerana ia dapat membantu mereka menjimatkan kos dan memudahkan urusan harian di kampus. Kedudukan kolej yang berhampiran fakulti juga membolehkan pelajar menghadiri kelas dengan lebih mudah dan mengurangkan masalah pengangkutan. Susulan itu, pelbagai pihak berharap agar langkah penambahbaikan dapat dilakukan bagi mengatasi masalah kekurangan penempatan kolej. Antaranya termasuk pembinaan kolej baharu, penambahan kapasiti bilik sedia ada serta kerjasama dengan pihak luar untuk menyediakan penginapan alternatif kepada pelajar.
Kesimpulannya, isu kapasiti kolej terhad di Universiti Pendidikan Sultan Idris bukan sahaja melibatkan soal penginapan tetapi turut memberi kesan kepada kebajikan dan kesejahteraan pelajar. Oleh itu, penyelesaian yang efektif perlu dilaksanakan agar pelajar dapat menjalani kehidupan kampus dengan lebih selesa dan kondusif.
(Tapak pembinaan kolej antarabangsa yang baru)