Karnival Kita KUO Gegar UPSI dengan Hiburan dan Aktiviti Menarik






Oleh : Nur Aina Nabila & DR Ahmad Saufiyyan bin Abu Hassan


Tanjong Malim 21 Mei 2026 - Karnival Kita KUO yang dianjurkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris berjaya menarik perhatian warga universiti serta pengunjung luar dengan pelbagai aktiviti menarik yang berlangsung sepanjang program tersebut. Karnival itu bukan sahaja menjadi platform hiburan kepada pelajar, malah turut mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan masyarakat setempat.


Sejak awal pagi, kawasan karnival dipenuhi dengan kehadiran pelajar yang tidak mahu melepaskan peluang menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan. Suasana menjadi lebih meriah apabila pelbagai gerai jualan dibuka, menawarkan makanan, minuman, pakaian serta barangan menarik yang mendapat sambutan hangat daripada pengunjung.


Antara tarikan utama program tersebut ialah persembahan artis jemputan yang berjaya menghiburkan para pengunjung dengan nyanyian dan persembahan bertenaga. Sorakan dan sambutan daripada pelajar jelas menunjukkan keterujaan mereka sepanjang persembahan berlangsung secara langsung dapat sedikit mengurangkan tekanan setelah seharian belajar.


Selain itu, sesi perkongsian bersama pempengaruh media sosial terkenal Makdi turut menjadi antara aktiviti yang paling dinantikan. Kehadiran beliau berjaya menarik ramai pelajar untuk mendengar perkongsian berkaitan pengalaman, cabaran dan motivasi dalam membina keyakinan diri serta kerjaya dalam dunia media sosial.


Menurut seorang pengunjung, program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk berehat daripada tekanan akademik sambil meluangkan masa bersama rakan-rakan dalam suasana yang menyeronokkan.


“Karnival ini memang meriah dan banyak aktiviti menarik. Saya paling suka sebab ada persembahan artis dan banyak gerai makanan. Program macam ini buat suasana kampus lebih hidup, dan saya sendiri dapat “release tension” lepas yelah kita student ni penat” katanya.


Secara keseluruhannya, Karnival Kita KUO berjaya mencipta pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna kepada para pengunjung. Program seperti ini bukan sahaja memberikan hiburan, malah turut membantu mewujudkan suasana kampus yang lebih ceria, aktif dan mesra dalam kalangan mahasiswa.