Pelajar komunikasi UPSI bersama pelajar Universitas Mercu Buana Yogyakarta sempena program Student Mobility
.Oleh: Nur Adlina Aiman dan Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hassan
TANJUNG MALIM, 13 April – Sekumpulan pelajar dari Universitas Mercu Buana Yogyakarta telah mengadakan lawatan akademik ke Universiti Pendidikan Sultan Idris menerusi program Student Mobility yang melibatkan pelajar bidang komunikasi dari kedua-dua universiti.
Program tersebut memberi peluang kepada para pelajar untuk berkongsi pengalaman pembelajaran, budaya serta menjalinkan hubungan antarabangsa dalam suasana yang santai dan mesra. Sepanjang berada di UPSI, para pelajar dari Indonesia mengikuti pelbagai aktiviti bersama pelajar komunikasi UPSI.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi lawatan sekitar kampus bagi memperkenalkan fasiliti yang terdapat di UPSI. Para pelajar turut berpeluang mencuba aktiviti riadah seperti bermain kayak dan bowling bagi merasai sendiri pengalaman kehidupan kampus di Malaysia.
Aktiviti bowling antara pengisian santai yang disertai oleh pelajar komunikasi UPSI dan Universitas Mercu Buana Yogyakarta.
Selain itu, rombongan juga dibawa melawat Lata Kinjang yang terkenal dengan keindahan air terjun serta suasana alam semula jadi yang menarik. Lawatan tersebut memberikan pengalaman baharu kepada para pelajar antarabangsa untuk menikmati keunikan tempat pelancongan di negeri Perak.
Pelajar UPSI dan Universitas Mercu Buana Yogyakarta turut mencuba aktiviti kayak bagi merasai pengalaman riadah di UPSI.
Tidak hanya itu, mereka juga berpeluang menyertai aktiviti membuat batik sebagai salah satu cara memperkenalkan seni dan budaya tempatan Malaysia. Aktiviti tersebut mendapat sambutan yang sangat baik kerana para pelajar dapat mempelajari sendiri proses menghasilkan corak batik secara kreatif dan interaktif.
Pelajar Universitas Mercu Buana Yogyakarta berpeluang mencuba aktiviti membuat batik ketika lawatan ke Lata Kinjang.
Program Student Mobility ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pelajar kedua-dua universiti, malah membantu meningkatkan pertukaran ilmu, budaya dan pengalaman dalam bidang komunikasi di peringkat antarabangsa.