Intercultural Night “Unity In Diversity” Gegar Kepelbagaian Budaya Di UPSI

 


Oleh : Nur Aina Nabila & DR Ahmad Saufiyyan 


Tanjong Malim 22 Mei 2026 - Program Intercultural Night “Unity in Diversity” yang dianjurkan bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya mencipta suasana penuh warna-warni menerusi pelbagai persembahan budaya yang menarik perhatian warga kampus serta para pengunjung.

Program tersebut dianjurkan bagi meraikan kepelbagaian budaya dan mengeratkan hubungan antara pelajar daripada pelbagai latar belakang. Sepanjang program berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai persembahan tradisional yang mencerminkan keunikan budaya masyarakat berbilang kaum.

Antara aktiviti yang menjadi tumpuan utama ialah persembahan tarian tradisional pelbagai budaya serta nyanyian lagu tradisional yang berjaya memukau penonton dengan keindahan seni dan warisan budaya yang dipersembahkan. Suasana dewan menjadi lebih meriah apabila para penonton memberikan sorakan dan tepukan semangat kepada setiap persembahan yang berlangsung.

Selain itu, pertandingan “Best Win Dress” turut diadakan bagi memberi peluang kepada para peserta memperagakan pakaian tradisional masing-masing. Pertandingan tersebut bukan sahaja menceriakan suasana program, malah berjaya memperkenalkan keunikan pakaian tradisional daripada pelbagai budaya kepada para pengunjung.

Menurut pengarah program, AdleenaAiman, penganjuran program tersebut bertujuan memupuk semangat perpaduan dan menghargai kepelbagaian budaya dalam kalangan mahasiswa.

“Program ini diadakan untuk memberi peluang kepada pelajar mengenali budaya antara satu sama lain serta mengeratkan hubungan persahabatan dalam suasana yang harmoni.” katanya.

Tambah beliau lagi, sambutan yang diterima daripada pelajar dan pengunjung amat memberangsangkan dan membuktikan bahawa program berbentuk kebudayaan masih mendapat tempat dalam kalangan mahasiswa.

Secara keseluruhannya, Intercultural Night “Unity in Diversity” berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan menampilkan keindahan budaya masyarakat berbilang kaum serta mewujudkan suasana yang harmoni, meriah dan penuh semangat perpaduan dalam kalangan warga UPSI.