PELAJAR UPSI JUAL KUNAFA SAN UNTUK MENJANA DUIT POKET






Gerai Kunafa San yang menjadi tarikan pelanggan

Oleh: Nur Adlina Aiman & Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasaan

TANJONG MALIM, 6 April – Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Sarah, membuktikan bahawa mahasiswa mampu bergiat aktif dalam bidang keusahawanan apabila berjaya membangunkan perniagaan pencuci mulut berasaskan kunafa dikenali sebagai Kunafa San. Perniagaan yang beroperasi di Kolej Ungku Omar (KUO) ini bukan sahaja menarik minat penghuni KUO, malah turut mendapat sambutan daripada pelajar kolej lain di UPSI, bahkan pelanggan dari luar universiti juga datang untuk merasai kunafa tersebut.

Nur Sarah, yang kini mengikuti Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), berkata beliau mula menceburi bidang perniagaan sejak tahun 2022 ketika berada di semester empat pengajian. Pada peringkat awal, perniagaan dijalankan secara kecil-kecilan dengan mengambil komisen daripada vendor luar kerana kekangan masa sebagai pelajar sepenuh masa. Bagaimanapun, sekitar Mei 2024, beliau mula menghasilkan dan menjual kunafa sendiri selepas melihat permintaan yang tinggi terhadap pencuci mulut ini dalam kalangan mahasiswa. Dorongan utama memulakan perniagaan adalah untuk menampung kos sara hidup, keperluan harian, serta perjalanan ulang-alik ke Sabah, selain minat mendalam dalam bidang perniagaan sejak kecil.



Menu kunafa dengan pilihan rasa yang pelbagai

Kunafa San kini diuruskan bersama empat orang staf yang terdiri daripada pelajar, dengan anggaran pendapatan tahunan sekitar RM50,000. Menu yang ditawarkan juga pelbagai, antaranya Kunafa Milkchoc, Darkchoc, Nutella, Red Velvet, Red Velvet Creamy, Pistachio, serta edisi Crunchy seperti Signature Crunchy, Nutella Crunchy, Dark Forest Crunchy dan Matcha Crunchy dengan harga antara RM20 hingga RM30. Permintaan terhadap kunafa semakin meningkat kerana trend semasa menunjukkan masyarakat muda kini gemar mencuba pencuci mulut ini, dan ramai pelanggan yang menjadi pelanggan tetap Kunafa San. Selain itu, perniagaan turut menyediakan perkhidmatan penghantaran terus ke pelanggan (COD), yang menjadi peluang tambahan untuk pelajar menjana pendapatan sampingan dengan menghantar kunafa kepada pelanggan.


Pemilik Kunafa San, Nur Farah bergambar bersama 

Pelanggan.

Tinjauan terhadap pelanggan tetap mendapati Kunafa San mendapat sambutan hangat daripada pelajar dan komuniti kampus. Ainul Nabihah, seorang penghuni KUO, berkata beliau sering membeli kunafa perisa Red Velvet kerana rasanya yang sedap, manakala saiz hidangan yang besar membolehkan dikongsi bersama rakan sebilik. “Harga berpatutan, portion banyak, memang berbaloi,” katanya. Sambutan ini menunjukkan faktor harga, kuantiti, dan kualiti rasa memainkan peranan penting dalam menarik pelanggan setia, termasuk dari kolej lain dan komuniti luar UPSI.

Dalam aspek penjenamaan, Nur Sarah berkata usaha memastikan produk mudah dikenali sangat diberi perhatian. Nama “Kunafa San” dipilih kerana kiosk perniagaan adalah kiosk nombor tiga, dan dalam bahasa Cina, nombor tiga disebut “san”. Selain itu, perkataan “Sun” turut disisipkan sebagai simbol matahari. Menurut pengasas, strategi penjenamaan ini membantu mengekalkan identiti perniagaan dan memudahkan pelanggan mengenali produk, khususnya di kalangan mahasiswa dan komuniti sekeliling.

Melihat kepada potensi perniagaan, Nur Sarah berkata beliau bercadang untuk mengembangkan Kunafa San ke lokasi lebih terbuka di luar kampus dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. Lokasi dalam universiti walaupun strategik untuk pelajar, agak terhad untuk menarik pelanggan dari komuniti luar yang ingin merasai produk tersebut. Beliau optimis bahawa dengan sokongan pelanggan tetap, promosi digital berterusan, dan pelbagai jenis kunafa, jenama ini mampu berkembang menjadi perniagaan manisan yang lebih dikenali di peringkat tempatan.

Selain menekankan kualiti produk dan variasi rasa, perniagaan ini turut menjadi platform pembelajaran praktikal bagi pelajar dalam aspek keusahawanan, termasuk pengurusan stok, pemasaran digital, dan khidmat pelanggan. Nur Sarah menekankan bahawa pengalaman mengurus Kunafa San bukan sahaja membantu menampung keperluan peribadi, malah memberi inspirasi kepada rakan pelajar untuk berani mencuba peluang perniagaan sendiri.