PROGRAM INTERCULTURAL NIGHT 2026 “UNITY IN DIVERSITY” BERLANGSUNG MERIAH DI UPSI


Gambar bersama penasihat PERKOM dan semua AJK Intercultural Night

Oleh: Nur Adlina Aiman & Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasaan

TANJONG MALIM, 21 Mei – Persatuan Komunikasi (PERKOM), telah menganjurkan Program Intercultural Night 2026: Unity in Diversity pada 21 Mei 2026 bertempat di Dewan Khar, UPSI. Program ini diadakan bagi meraikan kepelbagaian budaya serta mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang budaya.

Program tersebut telah dipimpin oleh Pengarah Program, Nur Adlina Aiman dari Exco Sukan dan Kebudayaan PERKOM, bersama barisan jawatankuasa pelaksana yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran perjalanan program. Majlis ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar dan tetamu yang hadir, sekali gus memeriahkan suasana dengan semangat perpaduan dan apresiasi budaya.



Ucapan daripada pengarah program

Pelbagai persembahan kebudayaan telah dipersembahkan sepanjang program berlangsung, termasuk tarian tradisional, persembahan muzik, pertunjukan pakaian tradisional serta persembahan yang mewakili keunikan budaya masyarakat berbilang kaum. Program ini turut memberi peluang kepada para pelajar untuk mengenali dan memahami warisan budaya yang terdapat di Malaysia dengan lebih dekat.



Semua peserta persembahan menari tarian di atas pentas

Selain itu, program ini bertujuan untuk memupuk nilai hormat-menghormati, toleransi dan persefahaman antara mahasiswa tanpa mengira bangsa, agama dan budaya. Tema “Unity in Diversity” dipilih bagi menonjolkan kepentingan perpaduan dalam meraikan perbezaan yang wujud dalam masyarakat majmuk.

Sebagai Pengarah Program, turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa, para peserta, penaja serta pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini. Diharapkan program seperti Intercultural Night 2026 dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan hubungan silaturahim dan semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa UPSI.