Kebebasan Bersuara Media: Adakah Suara Rakyat Benar-Benar Didengari?

 

Oleh: Farez Feroz

TANJONG MALIM, Kebebasan bersuara merupakan salah satu hak penting dalam sebuah negara demokrasi. Media pula memainkan peranan besar sebagai platform untuk masyarakat menyampaikan pendapat, kritikan dan pandangan terhadap isu semasa. Namun, persoalan yang sering timbul ialah sama ada rakyat biasa benar-benar mempunyai kebebasan untuk bersuara tanpa rasa takut atau tekanan.

Di era digital hari ini, platform seperti TikTok, Instagram dan Facebook memberi peluang kepada masyarakat untuk berkongsi pandangan secara terbuka. Ramai menggunakan media sosial untuk membincangkan isu politik, ekonomi dan sosial yang berlaku di negara ini.

Namun begitu, penyanyi dan personaliti media sosial, John Bear berpendapat bahawa kebebasan bersuara dalam kalangan rakyat biasa masih mempunyai batas tertentu.

“Sebagai rakyat biasa, kita tidak mendapat kebebasan bersuara itu sepenuhnya. Kadang-kadang orang takut untuk bercakap kerana risau dikecam atau memberi kesan kepada diri sendiri,” katanya.

Menurutnya, walaupun media sosial membuka ruang kepada masyarakat untuk bersuara, masih ramai yang memilih untuk berdiam diri kerana bimbang terhadap reaksi orang ramai atau kemungkinan tindakan tertentu.

Selain itu, pelajar universiti, Aina Sofea, 22, berkata media sosial sememangnya memudahkan anak muda menyuarakan pendapat, namun budaya “cancel culture” juga menyebabkan ramai takut untuk memberi pandangan secara terbuka.

“Sekarang bila seseorang bagi pendapat yang berbeza, mudah sangat kena kecam di media sosial. Kadang-kadang benda kecil pun boleh jadi besar,” katanya.

Fenomena tersebut menunjukkan bahawa kebebasan bersuara bukan sahaja berkaitan undang-undang, tetapi juga tekanan sosial dalam dunia digital. Ramai pengguna media sosial lebih berhati-hati dalam berkongsi pandangan kerana takut menjadi sasaran kecaman netizen.

Walaupun begitu, media tetap memainkan peranan penting dalam memastikan suara masyarakat dapat disampaikan. Kebebasan bersuara yang sihat perlu digunakan dengan tanggungjawab tanpa menyebarkan fitnah, kebencian atau maklumat palsu.

Kesimpulannya, kebebasan bersuara dalam media masih menjadi isu yang relevan dalam masyarakat hari ini. Walaupun rakyat mempunyai platform untuk menyuarakan pendapat, masih wujud rasa takut dan tekanan sosial yang membataskan keberanian mereka untuk bercakap secara terbuka. Oleh itu, masyarakat perlu mewujudkan budaya komunikasi yang lebih matang dan menghormati pandangan berbeza agar kebebasan bersuara dapat diamalkan secara positif.