Gambar merujukkan permulaan program tersebut di platform Google Meet
Disediakan oleh: Vidyadarshinee Ravindran & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
TANJONG MALIM— Sebuah program bertajuk "Plastic Awareness in UPSI Cafes: Reducing the Use of Plastic Bags and Food Containers" telah berjaya dilaksanakan pada 20 Mei 2026, bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi melalui sesi live webinar di platform Google Meet. Program ini merupakan inisiatif murni yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar dari Fakulti Sains dan Matematik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan para pelajar dalam kampus terhadap isu penggunaan plastik yang semakin membimbangkan.
Bagi memastikan penyertaan yang lebih menggalakkan, penganjur turut menyediakan Mata Champ sebagai insentif kepada peserta yang menyertai program tersebut serta memberikan e-sijil sebagai tanda penghargaan penyertaan. Langkah ini terbukti berkesan dalam menarik minat pelajar untuk terlibat secara aktif dalam program berkenaan.
Program pada hari tersebut dimulakan dengan memaparkan kod QR Google Form untuk menjawab pre-test kempen tersebut dan kemudian diteruskan dengan penuh semangat patriotisme apabila peserta bersama-sama menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku, diikuti dengan lagu negeri Perak. Suasana yang penuh hormat ini menjadi pembuka tirai yang bermakna sebelum program bergerak ke sesi utama.
Seterusnya, para pelajar dari kursus Environmental Science menayangkan video pembentangan yang memaparkan hasil kajian mereka mengenai isu penggunaan plastik di kafe-kafe sekitar kampus UPSI. Dalam video tersebut, para pelajar turut menjalankan sesi temu bual bersama pelajar-pelajar yang kerap mengunjungi kafe berkenaan, bagi memperoleh gambaran yang lebih terperinci tentang corak dan kekerapan penggunaan plastik dalam kehidupan harian mereka. Bukan sekadar mendedahkan masalah, para pelajar turut mengemukakan cadangan penyelesaian yang praktikal dan relevan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran jemputan istimewa, iaitu Encik Mohd Husaini bin Saidi, wakil dari Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dari Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES). Dalam sesi ceramah beliau, Encik Mohd Husaini menerangkan bahawa plastik pada asalnya dicipta untuk memudahkan kehidupan manusia, namun penggunaannya yang berleluasa telah menjadikannya satu isu yang semakin serius dalam kalangan masyarakat hari ini.
Apabila ditanya oleh moderator tentang cara mengelakkan penggunaan plastik, beliau memberikan jawapan yang realistik dan bermakna bahawa penggunaan plastik memang sukar dihapuskan sepenuhnya, namun masyarakat boleh memulakan perubahan dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali-guna dan menggantikannya dengan membawa beg sendiri ketika membeli-belah.
Perbincangan turut menyentuh isu microplastik yang kini semakin mendapat perhatian dunia. Penceramah menjelaskan bahawa microplastik telah digelar sebagai 'emerging pollutant' yang ditemui dalam air, tanah, badan manusia, malah turut terhasil daripada geseran tayar kenderaan. Walaupun tahap bahayanya masih dalam penelitian, perkara ini harus diberikan perhatian serius oleh semua pihak.
Menyentuh peranan kerajaan, Encik Mohd Husaini turut menggesa para pelajar untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam mengharamkan pemberian beg plastik. Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan bersedia untuk mengenakan kompaun kepada pihak yang gagal melupuskan sisa dengan betul, namun pelaksanaannya menghadapi cabaran disebabkan masyarakat yang masih belum bersedia sepenuhnya. Dalam kata-kata beliau sendiri:
"Kerajaan sedia untuk meletakkan kompound seperti negara Jepun tetapi disebabkan kesukaran untuk masyarakat menerima implementasi tersebut, penguatkuasaan akan menjadi sukar dan mencabar."
Beliau turut menyeru agar setiap pelajar mempelajari dan mengamalkan amalan pengasingan sisa secara menyeluruh, sebagai langkah bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Program ini kemudiannya ditamatkan dengan sekali lagi memaparkan kod QR kempen tersebut untuk menjawab soalan post-test dan diteruskan dengan sesi kuiz interaktif yang diikuti oleh para peserta, menjadikan pengakhiran program tersebut lebih meriah dan berpengetahuan.
Program sebegini merupakan cerminan bahawa generasi muda hari ini bukan sahaja peka terhadap isu alam sekitar, malah berani mengambil tindakan untuk membawa perubahan. Semoga semangat hijau yang diajarkan dan pengetahuan yang disampaikan kepada pelajar universiti melalui program ini terus menyala dan menjadi ilham kepada lebih ramai warga kampus untuk turut serta dalam memelihara kelestarian alam sekitar demi generasi yang akan datang.