Oleh : ‘Ainin Safiyya binti Asrul Effendi & Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Alor Setar — Negara dikejutkan dengan satu kejadian amuk seorang lelaki sakit mental yang telah memukul dan membakar ibunya di sebuah kampung di Alor Setar, Kedah.
Lelaki terbabit mengamuk selepas ibunya menutup suis televisyen dan menyuruhnya makan ubat penenang.
Ini bukan kejadian amuk pertama melibatkan pesakit mental yang menyebabkan kematian ahli keluarga. Isu kesihatan mental ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan keamanan masyarakat.
Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, sekitar 2.3 peratus rakyat Malaysia, atau lebih 500,000 orang dewasa, mengalami kemurungan.
Lebih membimbangkan, 424,000 kanak-kanak dan remaja berumur antara lima hingga 15 tahun juga menghadapi masalah kesihatan mental. Angka ini dijangka meningkat selepas Covid-19, yang menyebabkan ramai individu berdepan tekanan kewangan, kehilangan pekerjaan, serta perubahan gaya hidup yang mendadak.
Bagi golongan muda, tekanan akademik dan harapan tinggi daripada ibu bapa juga menjadi punca utama mereka mengalami tekanan emosi.
Kajian menunjukkan pelajar yang menghadapi tekanan untuk mencapai kecemerlangan akademik lebih berisiko mengalami gangguan kebimbangan dan kemurungan.
Selain itu, stigma dan kekurangan kesedaran tentang kesihatan mental menyebabkan ramai individu yang mengalami gangguan mental enggan mendapatkan rawatan. Mereka bimbang akan dipandang serong atau dianggap sebagai lemah oleh masyarakat.
Masalah kesihatan mental yang tidak ditangani boleh membawa kesan buruk kepada individu dan negara.