Oleh : Ainin Safiyya binti Asrul Effendi & Dr Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
Tanjung Malim — Cabaran kewangan dalam kalangan pelajar semakin mendapat perhatian apabila peningkatan kos sara hidup memberi kesan kepada kehidupan harian mahasiswa. Bagi sesetengah pelajar, pengurusan kewangan yang baik menjadi kunci utama untuk meneruskan pengajian tanpa mengabaikan keperluan asas dan komitmen akademik.
Kos makanan, pengangkutan, bahan pembelajaran serta perbelanjaan harian lain menjadi antara beban yang perlu ditanggung oleh pelajar. Keadaan ini mendorong ramai mahasiswa untuk berjimat cermat dan mencari sumber pendapatan tambahan bagi menampung keperluan mereka sepanjang tempoh pengajian.
Menurut seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda, Siti Nur Syazwani, 22, cabaran kewangan sering memerlukan pelajar membuat perancangan yang teliti dalam setiap perbelanjaan.
“Sebagai pelajar, saya perlu memastikan setiap perbelanjaan dibuat secara berhemah. Kadangkala saya terpaksa mengurangkan perbelanjaan yang tidak penting supaya wang yang ada mencukupi sehingga hujung bulan,” katanya.
Tambahnya lagi, tekanan kewangan bukan sahaja mempengaruhi kehidupan harian, malah boleh memberi kesan kepada emosi dan fokus pembelajaran sekiranya tidak diurus dengan baik.
Secara keseluruhannya, cabaran kewangan merupakan antara realiti yang perlu dihadapi oleh ramai pelajar pada masa kini. Namun, dengan pengurusan kewangan yang berkesan, sokongan daripada institusi dan kesedaran tentang kepentingan literasi kewangan, mahasiswa mampu mengharungi cabaran tersebut serta meneruskan perjalanan akademik dengan lebih yakin dan teratur.