KOLABORASI STRATEGIK UPSI DAN INDUSTRI PACU KEBOLEHPASARAN GRADUAN

 TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh hubungan strategik bersama industri melalui penganjuran Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan lima rakan industri strategik bagi membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa dalam dunia kerjaya profesional.

Majlis tersebut menyaksikan kerjasama rasmi antara UPSI dengan lima syarikat industri iaitu OHMYMEDIA, Noir HQ, Aaron Aziz Production, Skop Productions dan AQ Energy. Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff berkata, kolaborasi antara universiti dan industri amat penting dalam melahirkan graduan yang kompetitif, berkemahiran tinggi serta bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

Menurut beliau, kerjasama strategik ini bukan sahaja memberi manfaat kepada universiti, malah membuka ruang kepada mahasiswa untuk memperoleh pengalaman industri sebenar melalui latihan industri, program kolaborasi, pembangunan projek kreatif serta peluang jaringan profesional bersama pihak industri. “Hubungan erat antara universiti dan industri amat penting dalam memastikan mahasiswa mendapat pendedahan secara langsung terhadap kehendak serta keperluan semasa pasaran pekerjaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena majlis tersebut.

Beliau turut berharap kerjasama yang terjalin dapat memperkasakan pembangunan bakat mahasiswa, khususnya dalam bidang media, produksi kreatif, komunikasi dan pengurusan profesional. Selain itu, kolaborasi bersama syarikat industri dijangka dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan UPSI pada masa hadapan.

(Gambar semasa memorandum pada hari kejadian)

Majlis MoU ini mencerminkan komitmen UPSI dalam memperluaskan jaringan kerjasama strategik demi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki pengalaman industri yang relevan serta berdaya saing di peringkat global.