Oleh: Nur Aqilah & Dr Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
Peserta lawatan ke Lata Gapi
KUALA KUBU BHARU – Satu lawatan rekreasi ke Lata Gapi telah dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Luar UPSI (KERLU) bagi memberi peluang kepada para peserta menikmati keindahan alam semula jadi di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli kelab. Program yang berlangsung pada 23 Mei 2026 itu mendapat sambutan yang baik daripada peserta yang teruja untuk menyertai aktiviti luar bersama rakan-rakan.
Setibanya di lokasi, para peserta memulakan perjalanan menyusuri laluan hutan menuju ke kawasan air terjun. Sepanjang perjalanan, peserta dapat menikmati suasana alam yang tenang serta pemandangan hijau yang menyegarkan. Keindahan flora dan fauna di sekitar kawasan tersebut turut menjadi tarikan kepada para peserta.
Pelbagai aktiviti santai telah dijalankan sepanjang lawatan, termasuk mandi-manda di kawasan air terjun, bergambar serta beriadah bersama rakan-rakan. Suasana yang nyaman dan air yang jernih menjadikan pengalaman di Lata Gapi lebih menyeronokkan dan memberikan peluang kepada peserta untuk merehatkan minda daripada kesibukan rutin harian.
Selain aktiviti rekreasi, lawatan ini turut memberi kesedaran kepada peserta tentang kepentingan menjaga kebersihan kawasan alam semula jadi. Para peserta diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan dan tidak meninggalkan sampah bagi memastikan keindahan kawasan tersebut terus terpelihara untuk dinikmati oleh pengunjung lain.
Menurut salah seorang peserta ,lawatan tersebut merupakan pengalaman yang sangat menyeronokkan kerana dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan sambil menikmati keindahan alam semula jadi. Aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan, malah membantu mengeratkan hubungan antara ahli kelab.
Secara keseluruhannya, lawatan ke Lata Gapi berjaya mencapai matlamatnya dalam memupuk semangat kebersamaan serta meningkatkan penghargaan terhadap alam sekitar. Diharapkan lebih banyak program rekreasi dan riadah seperti ini dapat dianjurkan pada masa hadapan untuk memberi manfaat kepada semua ahli.