Mahasiswa UPSI Berdepan Cabaran Mencari Penginapan Sewa Akibat Kekangan Kolej Kediaman




Gambar rumah teres sebagai ilustrasi penginapan sewa pelajar universiti 

(Sumber: Google Images)



Oleh: Rogayah binti Mamat dan Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan


TANJONG MALIM, 11 Mei 2026 - Isu kekurangan penempatan di kolej kediaman Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi pelajar semester lima dan ke atas semakin mendapat perhatian apabila ramai mahasiswa dijangka perlu mencari penginapan di luar kampus pada semester akan datang. Situasi ini menyebabkan pelajar lebih awal membuat persediaan bagi mendapatkan rumah sewa di sekitar Tanjung Malim yang semakin terhad dan mahal. 


Berdasarkan makluman yang diterima dalam kalangan mahasiswa, pelajar semester satu hingga empat lazimnya diberi keutamaan untuk tinggal di kolej kediaman, manakala pelajar semester lima dan ke atas berkemungkinan perlu membuat persediaan untuk mencari penginapan di luar kampus bergantung kepada kekosongan penempatan. 


Menurut seorang pelajar UPSI, Cik Maira, beliau yang akan memasuki semester lima terpaksa mula mencari rumah sewa selepas permohonannya untuk tinggal di kolej kediaman tidak berjaya. Katanya, keadaan pasaran rumah sewa yang semakin penuh dan harga yang meningkat menambah tekanan kepada pelajar.


“Saya dah boleh jangka tak dapat kolej, jadi saya terus plan cari rumah sewa. Cuma sekarang memang susah sikit sebab banyak yang dah full dan harga pun agak tinggi,” katanya. 


Beliau turut menjelaskan cabaran lain iaitu keperluan mencari rakan serumah bagi mengurangkan kos sewa bulanan kerana tidak mempunyai kenalan rapat untuk tinggal bersama. Situasi ini menyebabkan beliau berasa agak tertekan kerana perlu menguruskan banyak perkara dalam masa yang sama. 


Seorang lagi pelajar, Muhammad Ihsan yang turut akan memasuki semester lima, berkongsi pengalaman sama apabila kebanyakan rumah dan bilik sewa di sekitar UPSI telah penuh ditempah lebih awal. Namun, beliau bersyukur kerana mempunyai motosikal yang memudahkan pergerakan ke kelas walaupun mungkin perlu tinggal lebih jauh dari kampus. 


“Sekarang saya tengah cari rumah sewa yang mampu milik, walaupun jauh sikit dari kampus pun tak apa. Janji sesuai dan selesa untuk seorang pelajar,” jelasnya. Ihsan turut menasihatkan pelajar lain agar berhati-hati ketika mencari rumah sewa bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.


Secara keseluruhannya, isu ini menunjukkan bahawa pelajar UPSI perlu membuat perancangan lebih awal terutama apabila memasuki semester pertengahan dan akhir bagi mengelakkan kesukaran mendapatkan penginapan yang sesuai.