Mahasiswa UPSI Dekati Remaja Melalui Program Pendidikan Moral


Oleh Devpal Singh A/L Karampal Singh & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan

Program Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Moral Interaktif Bersama Remaja MySkills Foundation Kalumpang telah diadakan pada 20 Mei 2026 di MySkills Foundation Kalumpang, Kerling, Selangor. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Moral, Sivik dan Pembangunan Karakter, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program ini melibatkan pelajar kursus HMS3043 Devian Sosial dan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada bakal pendidik mengenai realiti sosial remaja melalui pendekatan interaktif. Selain itu, program ini juga bertujuan meningkatkan kemahiran sosial, komunikasi serta semangat kerjasama dalam kalangan peserta.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program seperti sesi suai kenal, ice breaking dan Stesen Interaktif bersama remaja MySkills Foundation. Aktiviti-aktiviti tersebut membantu peserta memahami cabaran sosial yang dihadapi golongan remaja dengan lebih mendalam.

Program ini turut berjaya mengeratkan hubungan kerjasama antara UPSI dan pihak MySkills Foundation dalam usaha memperkasakan pendidikan karakter serta melahirkan mahasiswa yang lebih prihatin terhadap masyarakat.

Program berakhir pada jam 4.30 petang dengan majlis penutupan, penyampaian cenderahati dan sesi bergambar bersama semua peserta.