Menangani Tekanan Akademik dalam Kalangan Mahasiswa UPSI

 Oleh: Muhammad Shafiq Adam Bin Mohd Shukor & Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan



Tanjong Malim- Tekanan akademik merupakan antara cabaran yang sering dihadapi oleh mahasiswa sepanjang tempoh pengajian di universiti. Tugasan yang banyak, peperiksaan, pembentangan serta komitmen kokurikulum boleh memberi tekanan kepada pelajar sekiranya tidak diurus dengan baik.

Menurut Irfan Izuddin, seorang mahasiswa UPSI, tekanan sering dirasai terutama ketika minggu peperiksaan dan tarikh akhir penghantaran tugasan yang bertindih. "Kadang-kadang saya perlu menyiapkan beberapa tugasan dalam masa yang sama. Ia memang mencabar, tetapi saya cuba mengurus masa dengan lebih teratur supaya tidak terlalu tertekan,"

Bagi membantu pelajar mengurus tekanan dengan lebih baik, UPSI turut menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan termasuk sesi kaunseling dan program pembangunan diri. Inisiatif ini bertujuan memastikan kesejahteraan mental mahasiswa sentiasa terpelihara sepanjang pengajian.

Menurut Ardini Anuar, Pelajar Semester 6 yang menjalankan sesi individual kaunseling berkata tekanan akademik adalah perkara yang normal dalam kehidupan seorang pelajar, namun ia perlu ditangani dengan cara yang sihat.

"Pelajar digalakkan untuk mendapatkan bantuan sekiranya mereka berasa terlalu tertekan. Sokongan daripada rakan, keluarga dan pihak universiti memainkan peranan penting dalam menjaga kesejahteraan emosi mahasiswa,"

Selain mendapatkan sokongan, pelajar juga disarankan untuk mengamalkan gaya hidup sihat seperti tidur yang mencukupi, bersenam dan mengurus masa dengan berkesan. Langkah-langkah ini dapat membantu mengurangkan tekanan serta meningkatkan fokus dalam pembelajaran.

Kesedaran mengenai kesihatan mental semakin penting dalam kalangan mahasiswa pada masa kini. Dengan sokongan yang berterusan daripada pelbagai pihak, pelajar dapat menghadapi cabaran akademik dengan lebih positif dan seimbang.