Mahasiswa UPSI di Kejohanan Olahraga SK Tanjong Malim. (AS Photo/MYUPSI)
Tanjong Malim – Penglibatan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai sukarelawan dalam Kejohanan Olahraga Tahunan Kali Ke-55 SK Tanjong Malim pada Sabtu lalu memberi peluang kepada mereka menimba pengalaman lapangan, khususnya dalam pengurusan acara sukan sekolah rendah.
Program yang berlangsung di Padang SK Tanjong Malim itu bukan sahaja menjadi ruang kepada mahasiswa untuk membantu kelancaran kejohanan, malah turut mendedahkan mereka kepada suasana sebenar pengurusan program sekolah yang memerlukan ketepatan masa, komunikasi dan kerjasama antara petugas.
Mahasiswa Semester akhir, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia), Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Muhamad Syakir Izwan bin Mohamad Yusoff berkata, penglibatan sebagai sukarelawan dalam kejohanan tersebut merupakan pengalaman yang menarik kerana ia memberi pendedahan baharu kepadanya di peringkat sekolah rendah.
“Ia merupakan pengalaman yang menarik bagi saya kerana ini pengalaman kedua saya menjadi sukarelawan olahraga dan pengalaman pertama menjadi sukarelawan olahraga bagi sekolah rendah,” katanya.
Menurutnya, sepanjang kejohanan berlangsung, beliau ditugaskan untuk menjaga masa bagi acara larian 100 meter dan 4x100 meter.
Tugas itu memerlukan tumpuan dan ketelitian bagi memastikan catatan masa peserta dapat direkodkan dengan baik, sekali gus membantu kelancaran perjalanan acara di padang.
Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran utama yang dihadapi sepanjang menjadi sukarelawan ialah keadaan cuaca yang panas.
“Cuaca yang panas menjadi cabaran utama kerana selepas program tersebut, kulit saya terbakar dan berasa agak pedih pada bahagian yang terbakar ketika mandi,” katanya.
Penyampaian Sijil kepada Muhammad Alif Arham
Sukarelawan UPSI pada Kejohanan Olahraga
di SK Tanjong Malim
Sementara itu, seorang lagi mahasiswa Semester akhir, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia), Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Muhammad Alif Arham bin Afzal ‘Alamin berkata, penglibatan dalam kejohanan tersebut memberinya pengalaman baharu tentang cara sesebuah sekolah mengendalikan acara sukan dengan lancar.
“Pengalaman baharu yang saya dapat melalui penglibatan ini ialah cara bagaimana sesebuah sekolah mengacarakan sukan sekolah rendah dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata, kejohanan tersebut turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk melihat bagaimana pihak sekolah berhubung dengan pihak luar, termasuk ibu bapa, alumni serta sekolah-sekolah rendah lain di daerah Muallim yang turut terlibat dalam kejohanan berkenaan.
Menurutnya, pengalaman seperti itu penting kerana ia membantu mahasiswa membuat persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan, khususnya dari aspek menepati masa, mematuhi arahan dan bekerja dalam kumpulan.
“Program seperti ini membantu persediaan mahasiswa sebelum memasuki alam pekerjaan kerana kami belajar untuk menepati masa, mengikuti arahan yang telah ditetapkan dan bekerja dalam kumpulan,” katanya.
Bagi Muhammad Alif Arham, perkara paling bermakna sepanjang program berlangsung ialah apabila beliau dapat merasai suasana peranan seorang guru dalam mengawal acara sukan sekolah.
Secara keseluruhannya, penglibatan mahasiswa UPSI dalam kejohanan olahraga sekolah bukan sahaja memberi pengalaman sebagai sukarelawan, malah menjadi platform pembelajaran luar bilik kuliah. Pengalaman itu turut membantu mahasiswa membina disiplin kerja, keyakinan diri, semangat berpasukan dan kesedaran tentang kepentingan menjaga imej universiti ketika berkhidmat dalam komuniti.