Oleh: Akmal Haziq Sulaiman Dr Sauffiyan Abu Hasan
TANJONG MALIM, 13 Mei 2026 – Program FestiVibe KAB 2.0 x Ayam Gepuk Artisan telah berlangsung
dengan penuh meriah di Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki, Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI) selama empat hari bermula 10 hingga 13 Mei 2026. Program
ini dianjurkan oleh Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki Sidang
2025/2026 dengan matlamat menghimpunkan mahasiswa dalam suasana festival yang
santai, interaktif dan penuh nilai kebersamaan.
Majlis ini telah dirasmikan oleh
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid
bin Salimin, sekali gus menandakan sokongan pihak universiti terhadap
penganjuran program berbentuk pembangunan sahsiah, kreativiti dan penglibatan
aktif mahasiswa. Penganjuran program ini bukan sahaja memberi ruang kepada
pelajar untuk berhibur, malah turut menjadi platform dalam mengeratkan hubungan
silaturahim, mencungkil bakat serta membina semangat kerjasama dalam kalangan
warga kolej.
Sepanjang penganjuran, FestiVibe KAB
2.0 menawarkan pelbagai slot menarik yang menggabungkan elemen sukan,
keusahawanan, kebudayaan, kerohanian, hiburan dan pertandingan. Pada hari
pertama, program dimulakan dengan aktiviti Strawberry Matcha Fun Run yang
berjaya membangkitkan semangat peserta melalui suasana santai, ceria dan sihat.
Aktiviti ini menjadi pembuka tirai yang sesuai bagi menyemarakkan lagi suasana
festival dalam kalangan mahasiswa.
Program kemudiannya diteruskan dengan
Paintball Battle Zone yang menguji ketangkasan, strategi dan kerjasama
berpasukan dalam kalangan peserta. Slot ini mendapat sambutan menggalakkan
kerana memberi pengalaman berbeza kepada mahasiswa untuk mencabar diri dalam
aktiviti yang lebih lasak dan menyeronokkan.
Selain itu, hari pertama turut
menampilkan Business Talk with Aisyah Hijanah yang memberi pendedahan berkaitan
dunia perniagaan, inspirasi keusahawanan dan motivasi kepada mahasiswa. Slot
ini membuka ruang kepada peserta untuk memahami kepentingan keberanian mencuba,
kreativiti dalam perniagaan serta nilai usaha dalam membina kejayaan. Pada
sebelah malam pula, suasana program bertukar lebih tenang dan penuh penghayatan
melalui Malam Muallim Berselawat dengan penampilan khas Iddin Ramli.
Pada hari kedua, pengisian diteruskan
dengan slot Satu Hati, Satu Misi Sumud Nusantara yang membawa nilai
kebersamaan, kesedaran dan semangat solidariti dalam kalangan peserta. Slot ini
memberi mesej bermakna kepada mahasiswa tentang kepentingan keprihatinan sosial
dan rasa tanggungjawab terhadap isu kemanusiaan.
Program turut diserikan dengan
Pertandingan Debat Bahasa Arab yang memberi ruang kepada mahasiswa untuk
menonjolkan kemahiran berbahasa, pemikiran kritis dan keyakinan diri.
Pertandingan ini bukan sahaja menguji kebolehan komunikasi peserta, malah turut
menggalakkan budaya ilmu serta keberanian berhujah secara beretika.
Kemuncak hari kedua diteruskan dengan
Malam Kebudayaan yang menampilkan elemen Cultural Dance Sensation serta Art of
Traditional Attired. Slot ini berjaya memperlihatkan kepelbagaian budaya,
kreativiti dan keunikan warisan melalui persembahan serta pemakaian tradisional
yang menarik perhatian penonton. Suasana malam tersebut menjadi lebih
berwarna-warni apabila peserta dan penonton dapat sama-sama meraikan keindahan
budaya dalam suasana yang meriah.
Pada hari ketiga, program memberi
fokus kepada penglibatan mahasiswa dalam bidang keusahawanan melalui slot
Pitching Mini Incubator Keusahawanan. Slot ini menjadi platform kepada peserta
untuk mengasah idea, membentangkan cadangan perniagaan dan meningkatkan
keyakinan dalam komunikasi profesional. Melalui aktiviti ini, mahasiswa diberi
peluang untuk berfikir secara kreatif dan kritis dalam membangunkan idea yang
berpotensi untuk diketengahkan.
Kerjasama bersama Ayam Gepuk Artisan
pula menyerlah menerusi slot Ayam Gepuk Challenges yang mencetuskan suasana
gamat, santai dan penuh gelak tawa. Cabaran ini bukan sahaja menghiburkan,
malah berjaya mengeratkan hubungan antara peserta melalui aktiviti yang dekat
dengan minat mahasiswa. Kehadiran elemen makanan dan cabaran interaktif
menjadikan slot ini antara pengisian yang mencuri perhatian ramai.
Pada sebelah malam, program diteruskan
dengan Malam GaRock yang menampilkan penyanyi jemputan Reedzwann. Persembahan
tersebut berjaya mencipta suasana konsert kampus yang bertenaga apabila para
pelajar hadir beramai-ramai bagi menikmati persembahan secara langsung. Sorakan
dan nyanyian bersama daripada penonton jelas menggambarkan keterujaan warga
kolej terhadap pengisian hiburan yang disediakan.
Hari terakhir menyaksikan penganjuran
MLBB Championship yang mendapat sambutan daripada peminat e-sukan dalam
kalangan mahasiswa. Pertandingan ini menjadi medan kepada peserta untuk
menampilkan strategi, kerjasama pasukan dan semangat persaingan sihat. Penganjuran
slot ini juga membuktikan bahawa e-sukan mampu menjadi medium penyatuan
mahasiswa melalui minat yang sama.
Program kemudian melabuhkan tirai
menerusi Majlis Penutup yang dimeriahkan dengan kehadiran artis jemputan
popular, Floor 88. Persembahan tersebut menjadi penutup yang cukup bermakna
apabila warga Kolej Aminuddin Baki berkumpul bersama dalam suasana penuh
keterujaan, sorakan dan kenangan indah. Kehadiran Floor 88 berjaya
menyempurnakan malam kemuncak FestiVibe 2.0 dengan suasana yang meriah dan
tidak dapat dilupakan.
Dari sudut pandang pengunjung,
penganjuran FestiVibe 2.0 x Ayam Gepuk Artisan dilihat berjaya menghidupkan
suasana Kolej Aminuddin Baki melalui gabungan aktiviti yang pelbagai dan dekat
dengan minat mahasiswa. Menurut seorang pengunjung, program ini memberi
pengalaman yang berbeza kerana setiap hari dipenuhi dengan slot yang bukan
sahaja menghiburkan, malah turut memberi manfaat kepada pelajar.
“Bagi saya, FestiVibe 2.0 memang best
sebab aktiviti dia pelbagai. Ada sukan, talk, cabaran makanan, kebudayaan dan
konsert. Program macam ni buat suasana kolej jadi lebih hidup dan seronok untuk
student,” kata salah seorang pengunjung.
Seorang lagi pengunjung turut
berkongsi bahawa malam hiburan seperti Malam GaRock bersama Reedzwann dan
Majlis Penutup bersama Floor 88 menjadi antara momen paling diingati sepanjang
program berlangsung. Menurutnya, kehadiran artis jemputan berjaya menarik minat
ramai pelajar untuk hadir dan menikmati suasana festival secara bersama.
“Malam Reedzwann dan Floor 88 memang
paling meriah. Semua orang enjoy, menyanyi sama-sama dan rasa macam satu kolej
berkumpul. Memang jadi kenangan yang susah nak lupa,” ujar seorang pengunjung.
Sementara itu, dari sudut pihak
penganjur, salah seorang AJK program menyatakan bahawa FestiVibe 2.0 bukan
sekadar program hiburan, sebaliknya menjadi medan untuk melatih kerjasama,
kepimpinan dan komitmen dalam kalangan mahasiswa. Walaupun persiapan program
memerlukan usaha yang besar, sambutan positif daripada warga kolej menjadikan
segala penat lelah berbaloi.
“Sebagai AJK, program ni memang banyak
cabaran dari segi persiapan, teknikal dan pengurusan slot. Tapi bila tengok
peserta dan pengunjung enjoy, rasa semua usaha kami sangat berbaloi. FestiVibe
2.0 bukan sekadar festival, tapi ruang untuk kami belajar bekerja sebagai satu
pasukan,” jelas salah seorang AJK program.
Secara keseluruhannya, FestiVibe KAB
2.0 x Ayam Gepuk Artisan telah berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam
memperkukuh hubungan silaturahim, menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk
menonjolkan bakat, serta mewujudkan pengalaman kampus yang lebih bermakna.
Program ini juga selari dengan matlamat pembangunan pelajar yang menekankan
aspek pendidikan, kreativiti, kolaborasi dan kesejahteraan sosial.