Oleh: Avioletha Anne Jackpira dan Dr. Ahmad Sauffiyyan Abu Hasan
TANJONG MALIM, 12 Mei 2026 — Panggung Malam Ga-Rock anjuran Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung dengan penuh gempak gempita apabila berjaya menghimpunkan ratusan warga kampus dalam suasana luar biasa yang dipenuhi alunan muzik dan persembahan bertenaga baru-baru ini.
Program yang menjadi sebahagian daripada pengisian utama Festivibe KAB 2.0 (Sidang MMKAB 2025/2026) itu menampilkan gabungan aura luar biasa artis jemputan tanah air, Reedzwann, bersama barisan bakat hebat dalam kalangan mahasiswa UPSI sendiri, sekali gus menjadikan acara berkenaan sebagai antara momen paling epik sepanjang program berjalan.
Kehadiran penyanyi jemputan, Reedzwann di atas pentas utama benar-benar menghangatkan suasana malam tersebut menerusi persembahan memukau yang mendapat sorakan gemuruh. Pentas acara turut disemarakkan lagi dengan mutu persembahan bertenaga yang tidak kurang hebatnya daripada mahasiswa UPSI yang mempertaruhkan bakat seni masing-masing.
Malam Ga-Rock KAB ini juga membantu mahasiswa dalam menyerlahkan bakat nyanyian dengan menyediakan program ini sebagai platform di samping menjadi pengisian pada malam tersebut. Malam Ga-Rock ini bertemakan lagu-lagu galau rock dan mahasiswa yang membuat persembahan nyanyian pada malam itu membawa lagu-lagu lama rock jiwang seperti lagu Ratu Rock Malaysia, Ella yang bertajuk Sembilu, lagu Dato Awie, Di Penjara Janji dan banyak lagi.
Antara sorotan menarik yang mewarnai Malam Ga-Rock KAB termasuklah gabungan elemen pencahayaan yang dinamik, sistem bunyi yang mantap, serta semangat luar biasa dan nyanyian bersama daripada para penonton yang berjaya menciptakan impak emosi yang cukup mendalam dan dirasai oleh seluruh hadirin.
Selain itu, kejayaan program ini juga disumbangkan oleh sokongan padu seluruh warga UPSI yang hadir membanjiri panggung untuk memberikan suntikan tenaga menerusi sorakan yang tidak putus-putus sepanjang malam acara berlangsung.
Penganjuran konsert mini ini secara tidak langsung membuktikan betapa berbakatnya warga Kolej Aminuddin Baki dalam mengendalikan acara pentas, di samping menyerlahkan keakraban ukhuwah yang terjalin erat dalam kalangan warga universiti.