Cloudy Taro Cipta Kelainan Dalam Kalangan Pelajar Upsi

Oleh: Ellya Ezzatil, Aishah Umairah Dan Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hassan


TANJUNG MALIM, 27 Mei - Seorang usahawan muda, Ahmad Irfan Baihaqi, 21, dari Terengganu, mencipta kelainan dalam industri minuman apabila memperkenalkan CloudyTaro, iaitu minuman berasaskan keladi, di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sejak kira-kira enam hingga tujuh bulan lalu bagi menawarkan alternatif kepada minuman popular seperti kopi dan matcha, dengan pendekatan berani mengetengahkan rasa unik taro yang sebelum ini kurang dikenali dalam kalangan pelajar.


Pada peringkat awal, sambutan yang diterima agak mencabar apabila ramai pelajar belum pernah mencuba minuman berasaskan keladi. Persepsi negatif terhadap rasa dan tekstur menjadi halangan utama untuk menembusi pasaran kampus. Namun begitu, beliau tidak menjadikan perkara tersebut sebagai penghalang, sebaliknya terus memperkenalkan produknya secara konsisten kepada pelanggan. Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila penerimaan pelajar semakin meningkat dari semasa ke semasa.


“Bila mereka dah cuba, kebanyakan akan repeat order. Dari situ saya nampak potensi besar untuk minuman ni,” jelasnya lagi.


Selepas hampir enam hingga tujuh bulan beroperasi, tanggapan pelajar berubah sepenuhnya. Minuman taro yang sebelum ini kurang dikenali kini mula mendapat tempat dan mampu bersaing dengan minuman moden lain seperti matcha dan kopi.

Seiring dengan peningkatan permintaan, CloudyTaro kini giat memperluaskan jenamanya melalui penyertaan dalam pelbagai acara. Sejak 1 April lalu, mereka telah menyertai lima acara dan kini menjalinkan kolaborasi bersama Chillex di bawah pimpinan EXCO Usahawan dan Ekonomi KHAR. Setakat ini, lebih 400 pelajar telah menjadi sebahagian daripada komuniti CloudyTaro.


Walaupun berdepan dengan cabaran kenaikan kos bahan mentah, Irfan mengambil pendekatan untuk mengawal kos tanpa membebankan pelanggan. Menyedari bahawa majoriti pelanggannya terdiri daripada pelajar, beliau memastikan harga minuman kekal mampu milik.

“Kita faham realiti pelajar sekarang, jadi harga memang kita jaga. Air kita dalam RM6 hingga RM10 sahaja,” ujarnya.


Dengan sambutan yang semakin memberangsangkan dan strategi yang jelas, CloudyTaro dilihat berpotensi untuk terus berkembang sebagai jenama minuman alternatif yang unik, sekali gus mencipta trend baharu dalam kalangan pelajar kampus.