Langkah ke Puncak, Jauh dari Tekanan Kampus


Oleh: Nur Aishah Umairah binti Mat Rashid Dan Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hassan


TANJONG MALIM, 28 Mei – Kesibukan tugasan, peperiksaan dan aktiviti kampus menyebabkan ramai pelajar mencari cara tersendiri untuk menghilangkan tekanan. Bagi sesetengah mahasiswa, aktiviti hiking atau mendaki bukit menjadi pilihan untuk mengisi masa lapang sambil menikmati keindahan alam semula jadi.


Aktiviti yang semakin popular dalam kalangan golongan muda itu bukan sahaja membantu meningkatkan kecergasan fizikal, malah memberi ruang kepada pelajar untuk berehat seketika daripada rutin akademik yang padat. Kebanyakan pelajar memilih untuk melakukan aktiviti tersebut pada hujung minggu atau ketika cuti semester bersama rakan-rakan.


Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Farra Farisha, berkata hiking merupakan antara aktiviti yang sering dilakukan oleh pelajar kerana mampu memberikan ketenangan selepas berdepan pelbagai komitmen pengajian.


“Bagi saya, hiking adalah salah satu aktiviti yang pelajar selalu lakukan apabila mempunyai masa lapang atau cuti semester. Melalui aktiviti ini, kami dapat menikmati keindahan alam sekitar yang sukar diperoleh ketika berada di dalam kelas atau kolej,” katanya.


Menurutnya, aktiviti tersebut juga menjadi salah satu cara untuk melepaskan tekanan yang terkumpul akibat tugasan dan peperiksaan.


“Selain dapat melihat pemandangan yang cantik, hiking juga membantu saya untuk healing dan melupakan seketika tekanan belajar. Selepas mendaki, saya rasa lebih tenang, segar dan bersemangat untuk kembali ke kelas,” katanya lagi.


Tinjauan mendapati terdapat pelbagai lokasi mendaki yang menjadi pilihan golongan muda di Malaysia seperti Bukit Broga, Bukit Gasing dan Gunung Datuk. Kebanyakan lokasi tersebut menawarkan laluan yang sesuai untuk pendaki baharu serta pemandangan menarik di puncak.


Selain memberi manfaat kepada kesihatan mental, aktiviti hiking turut membantu meningkatkan tahap kecergasan fizikal. Perjalanan mendaki yang memerlukan tenaga dan ketahanan mampu meningkatkan stamina serta menggalakkan gaya hidup yang lebih aktif dalam kalangan pelajar.


Aktiviti itu juga dilihat mampu mengeratkan hubungan antara rakan-rakan kerana kebiasaannya dilakukan secara berkumpulan. Sepanjang pendakian, peserta perlu saling membantu dan bekerjasama, sekali gus mewujudkan semangat kebersamaan yang positif.


Walau bagaimanapun, aspek keselamatan perlu sentiasa diberi perhatian sebelum memulakan pendakian. Pelajar disarankan supaya memilih laluan yang bersesuaian dengan tahap kemampuan masing-masing serta memastikan mereka membawa bekalan air dan kelengkapan yang mencukupi.


Dengan pelbagai manfaat yang ditawarkan, tidak hairanlah aktiviti hiking semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar universiti. Selain menjadi medium untuk mengekalkan kesihatan, aktiviti tersebut turut memberi peluang kepada mereka untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan sambil menikmati keindahan alam semula jadi jauh daripada kesibukan kampus.