SENI INAI: LUBUK PENDAPATAN HUSNA NABILA

  

 

(Gambar hasil inai oleh Husna Nabila) 

Oleh: Nur Aishah Umairah binti Mat Rashid dan Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan 

 

Tanjong Malim, 25 Mei 2026 - Seorang mahasiswa TESL di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Husna Nabila, berjaya menjadikan minatnya dalam seni inai sebagai satu sumber pendapatan sampingan yang bermakna baginya.Husna telah mula menjalankan servis henna sejak semester ketiga lagi dan kini sedang berada di semester keenam.  

 

Permulaan minat pada mulanya telah bertukar menjadi peluang bagi menjana pendapatan sendiri ketika belajar. Husna menawarkan pelbagai pilihan corak inai melalui katalog khas yang memudahkan pelanggan memilih design mengikut citarasa masing-masing. Menurutnya, harga yang dikenakan adalah berpatutan, sekitar RM5 hingga RM10 bagi setiap tangan pelanggan. 

 

(Gambar menunjukkan Husna membuat inai di tangan pelangannya) 

“Kalau design simple, biasanya ambil masa lebih kurang 20 minit. Tapi kalau corak yang lebih detail, boleh sampai satu jam untuk satu tangan,” jelasnya. 

 

Walaupun tidak beroperasi secara tetap setiap hari, Husna membuka tempahan ketika waktu lapang sahaja. Namun, permintaan meningkat terutamanya ketika musim perayaan atau acara tertentu seperti jamuan raya, di mana jumlah pelanggan boleh bertambah dari semasa ke semasa. 

 

“Saya sangat suka hasil inai daripada Husna dan saya adalah orang yang sentiasa menyokong minat dia dalam bidang ini,” kata Nurin selaku kawan baik Husna. 

 

Lebih menariknya, walaupun terdapat segelintir pelajar lain yang turut menawarkan servis yang sama, persaingan membuat henna masih rendah dan Husna berjaya membina kelompok pelanggan tetapnya sendiri. 

 

Bagi Husna, mempunyai pendapatan sendiri sebagai pelajar adalah sesuatu yang penting, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Selain membantu dari segi kewangan, pengalaman ini juga meningkatkan keyakinan dirinya untuk berhadapan dengan orang ramai. 

 

Kisah Husna Nabila membuktikan bahawa minat yang kecil boleh berkembang menjadi peluang besar. Dengan usaha dan pengurusan masa yang baik, pelajar juga mampu berdikari dan membina kemahiran keusahawanan sejak di bangku universiti lagi.