Oleh: Nur Aishah Umairah binti Mat Rashid Dan Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hassan
TANJUNG MALIM, 27 Mei — Dalam keadaan kos barangan yang semakin meningkat, seorang peniaga kecil, Siti Maisarah, tetap mempertahankan harga roti jualannya pada kadar serendah RM1 sebiji demi memastikan ia mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat.
Menurut Siti Maisarah, perniagaan roti yang diusahakannya secara kecil-kecilan itu tidak selalu memberikan pulangan yang konsisten. Ada hari jualannya memberangsangkan dengan keuntungan mencecah sekitar RM150, namun pada hari kurang baik, pendapatan minimum yang diperoleh hanyalah sekitar RM60.
“Kadang-kadang roti cepat habis, tapi ada juga hari yang kurang sambutan. Memang tak menentu,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini.
Tambahnya lagi, antara cabaran utama adalah kurangnya pendedahan terhadap perniagaan yang dijalankan, menyebabkan masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan gerai tersebut. Walau bagaimanapun, beliau bersyukur kerana tetap mempunyai pelanggan setia, termasuk mereka yang membuat tempahan dalam kuantiti yang banyak dari semasa ke semasa.
Perniagaan roti itu menawarkan pelbagai pilihan kepada pelanggan dengan sebanyak sembilan jenis roti dijual, antaranya roti serunding, roti coklat dan roti pandan. Kepelbagaian ini sedikit sebanyak membantu menarik minat pelanggan yang mempunyai cita rasa berbeza.
Walaupun berdepan cabaran ekonomi semasa, Siti Maisarah tetap komited untuk mengekalkan harga jualan sebagai satu usaha membantu pelanggan, khususnya golongan pelajar dan penduduk setempat.
“Saya harap dapat terus bertahan dan mungkin kembangkan perniagaan kalau ada peluang,” ujarnya.
Kisah peniaga kecil seperti Siti Maisarah ini mencerminkan realiti sebenar yang dihadapi oleh ramai penjaja jalanan yang terus berusaha mengekalkan kelangsungan perniagaan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.