| Penggunaan Teknologi Pada Masa Kini |
Oleh: Fiorella Anak Jhonny
Media sosial kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat. Platform seperti Instagram, TikTok dan Facebook bukan lagi sekadar tempat untuk berkongsi gambar dan video, malah menjadi medium utama untuk berhubung, mendapatkan maklumat dan mengikuti perkembangan semasa dengan cepat.
Perkembangan teknologi menjadikan media sosial semakin penting dalam kehidupan moden. Komunikasi antara keluarga dan rakan menjadi lebih mudah walaupun berada jauh antara satu sama lain. Media sosial juga membuka peluang kepada masyarakat untuk menjalankan perniagaan, berkongsi ilmu serta menunjukkan bakat dan kreativiti kepada orang ramai.
Penggunaan media sosial turut membawa cabaran terutama dalam kalangan generasi muda. Budaya membandingkan diri dengan orang lain semakin biasa berlaku. Kebanyakan pengguna hanya berkongsi perkara yang menggembirakan seperti kejayaan, percutian dan pencapaian, manakala masalah dan kesukaran hidup jarang dipaparkan.
Keadaan ini menyebabkan ramai beranggapan bahawa kehidupan orang lain lebih baik dan lebih sempurna. Ada yang mula merasa rendah diri, kurang yakin dan menganggap diri mereka tidak cukup berjaya. Ada juga yang terlalu mengejar jumlah tanda suka, tontonan dan pengikut kerana menganggap perkara tersebut sebagai ukuran kejayaan.
Penggunaan media sosial yang berlebihan boleh menyebabkan seseorang menghabiskan lebih banyak masa di dunia maya sehingga mengabaikan keluarga, rakan dan kehidupan sendiri. Keadaan ini boleh menjejaskan emosi, produktiviti dan kesihatan mental jika tidak dikawal dengan baik.
Menurut Yohanna Thalia, seorang responden yang ditemu bual semasa merekod video haiwan di Jong’s Crocodile Farm and Zoo menyatakan bahawa dia juga menggunakan media sosial seperti TikTok untuk berkongsi gambar dan video tentang momen tertentu dalam hidupnya yang dirasakan sesuai. “Saya post bila rasa moment tu cantik untuk simpan sebagai kenangan dan juga untuk share dengan orang lain.” katanya.
Media sosial masih membawa banyak manfaat kepada masyarakat. Pengguna perlu mengawal masa penggunaan media sosial dan memilih kandungan yang memberi kesan positif. Masyarakat juga perlu sedar bahawa apa yang dipaparkan di media sosial bukanlah gambaran sebenar kehidupan seseorang.
Media sosial boleh membawa banyak kebaikan jika digunakan dengan betul. Pengguna perlu lebih bijak menggunakannya supaya teknologi ini menjadi alat yang membantu dan bukannya beban dalam kehidupan harian.