Ditulis oleh: Megat Iskandar Shah
TANJUNG MALIM – Media sosial kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian pelajar universiti. Platform seperti TikTok, Instagram, X dan Facebook bukan sahaja digunakan untuk hiburan, malah menjadi medium komunikasi, pembelajaran dan mendapatkan maklumat semasa. Namun begitu, penggunaan media sosial yang berlebihan dalam kalangan mahasiswa mula menimbulkan kebimbangan berkaitan ketagihan dan kesan terhadap prestasi akademik. Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), ramai pelajar mengakui mereka menghabiskan beberapa jam sehari melayari media sosial sama ada untuk menghilangkan tekanan, mengikuti trend semasa atau berhubung dengan rakan-rakan.
Bagi seorang pelajar Komunikasi Sosial, media sosial menjadi cara untuk melepaskan tekanan selepas menghadiri kelas dan menyiapkan tugasan.
“Biasanya saya buka TikTok atau Instagram untuk berehat sekejap selepas belajar. Kadang-kadang niat hanya lima minit, tetapi akhirnya boleh jadi lebih daripada satu jam,” katanya.
Menurutnya lagi, media sosial juga membantu pelajar mendapatkan maklumat dengan lebih pantas termasuk berita semasa, nota pembelajaran dan info berkaitan universiti.
Perkembangan teknologi digital menyebabkan media sosial bukan lagi sekadar platform hiburan. Ramai pelajar menggunakan media sosial untuk berkongsi nota, menonton video pendidikan dan mengikuti kandungan pembelajaran daripada pensyarah atau pencipta kandungan akademik. Bagi sesetengah pelajar, video pendek dan infografik lebih mudah difahami berbanding pembacaan panjang dalam buku atau artikel akademik.
Seorang pelajar berkata beliau sering menggunakan YouTube dan TikTok untuk memahami topik pembelajaran yang sukar.
“Kadang-kadang penerangan melalui video lebih mudah difahami. Ada content creator yang terangkan sesuatu topik dengan cara yang lebih santai dan menarik,” kata Muhammad Shakir.
Selain itu, media sosial turut memudahkan pelajar berkomunikasi dalam tugasan berkumpulan dan mendapatkan maklumat terkini berkaitan jadual kelas atau aktiviti universiti. Walaupun mempunyai banyak manfaat, penggunaan media sosial secara berlebihan boleh memberi kesan negatif kepada pelajar. Antara masalah yang sering dihadapi ialah gangguan fokus ketika belajar, kurang tidur dan pembaziran masa. Ramai pelajar mengakui mereka sukar mengawal penggunaan telefon pintar terutama apabila terlalu leka menonton video atau melayari kandungan hiburan.
Selain akademik, penggunaan media sosial secara berlebihan juga boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental mahasiswa. Tekanan untuk mengikuti trend, membandingkan diri dengan orang lain dan keinginan mendapatkan perhatian di media sosial boleh menyebabkan stres serta rasa rendah diri. Terdapat pelajar yang mengakui mereka berasa tertekan apabila melihat kehidupan orang lain yang kelihatan lebih sempurna di media sosial. Pakar psikologi berpendapat bahawa penggunaan media sosial secara tidak terkawal boleh meningkatkan risiko kebimbangan dan tekanan emosi terutama dalam kalangan remaja dan mahasiswa.
Walaupun media sosial sering dikaitkan dengan ketagihan, ramai berpendapat bahawa teknologi tersebut tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya. Sebaliknya, pengguna perlu bijak mengawal masa dan tujuan penggunaan media sosial. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah menetapkan had masa penggunaan telefon, mengurangkan penggunaan media sosial sebelum tidur dan memberi lebih tumpuan kepada aktiviti bersemuka bersama rakan-rakan. Pelajar juga disarankan untuk menggunakan media sosial sebagai alat pembelajaran dan komunikasi secara positif, bukannya sekadar medium hiburan semata-mata.
Media sosial telah menjadi sebahagian penting dalam kehidupan mahasiswa masa kini. Walaupun platform digital ini membantu memudahkan komunikasi dan pembelajaran, penggunaannya secara berlebihan boleh menyebabkan ketagihan serta memberi kesan terhadap prestasi akademik dan kesihatan mental. Oleh itu, pelajar perlu bijak mengimbangi penggunaan media sosial agar teknologi tersebut menjadi alat yang memberi manfaat dan bukannya mengganggu kehidupan seharian mereka.