(Aidil ketika ditemu bual)
Oleh: Amirah Madihah Abdul Muttalib, Puteri Wahyu Aztemah & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
TANJONG MALIM– Di sebalik gerak kerja aktif sesebuah persatuan pelajar, pasti ada individu yang menjadi tulang belakang dalam memastikan setiap perancangan berjalan lancar. Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) dipimpin oleh Muhammad Aidil Putra bin Afendi, seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Matematik yang kini memegang jawatan Yang Di-Pertua (YDP), dalam usaha membentuk mahasiswa holistik berteraskan nilai Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan sahsiah, kepimpinan dan kerohanian di peringkat universiti.
Walaupun beliau datang daripada latar belakang pengajian Matematik dan bukan daripada aliran agama atau pengajian al-Quran, ia tidak menjadi penghalang untuk beliau memimpin sebuah kelab berteraskan nilai Ulul Albab. Hal ini sekali gus menunjukkan bahawa kepimpinan mahasiswa tidak terhad kepada satu bidang tertentu sahaja, sebaliknya boleh digerakkan oleh sesiapa yang mempunyai minat, komitmen dan kesungguhan dalam membangunkan diri serta komuniti kampus.
Sepanjang menerajui KeSUA, Aidil turut memperkenalkan pelbagai inovasi dalam gerak kerja kelab bagi memastikan ia terus relevan dan memberi impak kepada mahasiswa. Antaranya termasuk pelaksanaan program konsisten seperti Weekly With KeSUA, penambahbaikan latihan fasilitator melalui Program Peringkat 2 Ulul Albab, serta Kursus Pensijilan Profesional Ulul Albab yang memberi nilai tambah kepada ahli. Selain itu, inisiatif Pro-Quranic Class juga diperluaskan bagi memperkukuh pembelajaran al-Quran secara lebih tersusun dan berterusan.
Penglibatan beliau dalam KeSUA bermula sejak semester pertama sebagai Rakan Exco Media dan Publisiti sebelum dilantik sebagai Exco, dan seterusnya diberi kepercayaan sebagai Yang Di-Pertua pada tahun ketiga pengajian. Pengalaman ini membantu beliau membina kemahiran kepimpinan secara berperingkat melalui penglibatan aktif dalam program universiti, persatuan serta aktiviti sukarelawan.
Secara keseluruhannya, kepimpinan Muhammad Aidil Putra bin Afendi melalui KeSUA memperlihatkan usaha berterusan dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari segi akademik, kepimpinan dan kerohanian, selari dengan aspirasi melahirkan graduan holistik di Universiti Pendidikan Sultan Idris.