Daripada: Sorfina Adawiah Fakhrur Razi dan Dr. Ahmad Saufiyyan bin Abu Hassan
TANJONG MALIM— Bola tampar bukan sekadar aktiviti yang memberi manfaat kepada daya tahan badan malahan menjadi medium dalam mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan pelajar. Ahli pasukan perlu sentiasa melaksanakan komunikasi yang baik dan saling bekerjasama dalam mengekalkan hubungan yang positif sepanjang permainan.
Baru-baru ini, satu program Volley Fusion: Sarong Edition diadakan pada 6 Jun 2026 telah dianjurkan oleh Persatuan Komunikasi (PERKOM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini memberi peluang kepada pelajar institut untuk mengekalkan gaya hidup sihat dan membina hubungan erat antara pelajar. Program ini mendapat sambutan yang tinggi dalam penglibatan pasukan sebanyak 8 kumpulan daripada pelbagai kursus dan tahun pengajian. Selain meningkatkan tahap kecerdasan fizikal, aktiviti turut membantu memupuk nilai disiplin dan semangat berpasukan.
Wan Adlin Fadhlina, Penyelaras Program bagi Volley Fusion: Sarong Edition, program ini bukan sahaja mengetengahkan kepentingan semangat kesukanan malah, mampu memartabatkan warisan kain sarung dalam kehidupan seharian pelajar institut. Beliau berkata, ”Program ini memberi kelainan dalam pemakaian peserta semasa bermain dengan mewajibkan pemakaian kain sarung ketika sedang dalam perlawanan. Hal ini dapat mengetengahkan aspek tradisional dalam program kesukanan ini.”
Selain itu, para peserta turut memberikan maklum balas yang positif terhadap pelaksanaan program tersebut. Mohd Al Shafie bin Emran, seorang pelajar dari Fakulti Pengurusan Ekonomi tahun 2 menyatakan program ini telah membuka peluang untuk memartabatkan tradisi kain sarung ketika bersukan. Beliau berkata, “Ini pertama kali saya melibatkan diri dalam sukan bola tampar yang mewajibkan penggunaan kain sarung ketika bersukan. Perkara ini dapat meningkatkan daya kreativiti dalam pemakaian kain sarung yang tidak menjadi satu halangan dalam menjadi juara untuk sukan ini.”
Secara keseluruhan, program bola tampar ini mencapai objektif dalam mengukuhkan hubungan silaturahim antara pelakar institut. Diharap agar pelbagai program yang seumpama menyusul dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja memartabatkan aspek tradisional, malah mempunyai daya kreativiti dan semangat kesukanan yang tinggi.