(Naomi Osaka)
Oleh: Puteri Wahyu Aztemah & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
PARIS – Selain aksi cemerlang di gelanggang tenis, Naomi Osaka sekali lagi membuktikan dirinya sebagai ikon fesyen apabila tampil dengan busana unik yang mencuri perhatian ramai pada kejohanan Terbuka Perancis 2026.
Pemain tenis Jepun itu melangkah masuk ke gelanggang dengan jaket bomber berwarna emas metalik yang dipadankan dengan gaun sukan berlabuci emas, sekali gus menampilkan gaya yang menggabungkan elemen sukan dan fesyen mewah. Penampilannya turut dilengkapi dengan fabrik panjang berwarna gading yang menambahkan sentuhan elegan dan dramatik.
Menurut Osaka, inspirasi reka bentuk tersebut diambil daripada fesyen klasik yang pernah popular suatu ketika dahulu. Walaupun beliau tidak dapat mengingati istilah sebenar bagi gaya tersebut, rekaannya menyerupai fesyen wanita bangsawan yang terkenal dengan bahagian belakang pakaian yang lebih menonjol dan mengembang.
Sebaik sahaja memasuki gelanggang, Osaka menanggalkan aksesori tambahan tersebut sebelum memulakan perlawanan menentang Donna Vekic. Penampilannya terus menjadi perbualan peminat dan pemerhati sukan yang kagum dengan keberaniannya membawa kelainan dalam dunia tenis profesional.
Bagi Osaka, penampilan di gelanggang bukan sekadar mengenai pakaian, malah menjadi salah satu cara untuk mengekspresikan personaliti dan kreativiti. Beliau mengakui seronok menampilkan rekaan yang berbeza kerana ia mewujudkan hubungan istimewa antara dirinya dan para peminat yang sentiasa menantikan kejutan baharu.
Pada perlawanan tersebut, Osaka berjaya menewaskan Vekic dengan keputusan 7-6 (1), 6-4 sekali gus melayakkan diri ke pusingan ketiga Roland Garros buat kali pertama sejak tahun 2019. Kejayaan itu menjadi satu pencapaian bermakna dalam usahanya untuk kembali berada pada prestasi terbaik selepas beberapa musim yang mencabar.
Menariknya, pada perlawanan pembukaan kejohanan itu, Osaka turut mencuri perhatian apabila mengenakan skirt hitam bersama busana berhias manik sebelum memperlihatkan gaun emas yang menjadi tema utama penampilannya. Beliau mendedahkan bahawa warna dan kilauan gaun tersebut diinspirasikan oleh keindahan Menara Eiffel yang bercahaya pada waktu malam.
Menurut Syafiq, seorang peminat tenis, penampilan Osaka sentiasa memberikan kelainan berbanding pemain lain. “Bukan sahaja hebat di gelanggang, tetapi dia juga berani membawa identiti tersendiri melalui fesyen. Setiap kali Osaka bermain, ramai yang tertunggu-tunggu penampilannya,” katanya.
Keunikan Naomi Osaka membuktikan bahawa atlet moden bukan sahaja dinilai berdasarkan prestasi sukan semata-mata, malah turut memainkan peranan sebagai ikon budaya dan hiburan. Gabungan bakat, keyakinan dan kreativiti menjadikan Osaka antara figura sukan yang terus menarik perhatian peminat di seluruh dunia.
Artikel ini diolah daripada laporan Associated Press (AP). Foto: AP Photo
https://share.google/yDs60tWuPK3uFKdbR