Sesi temu duga bersama dua sumber
Oleh: Puteri Wahyu Aztemah & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Tanjong Malim- Dalam era perkembangan teknologi dan perubahan sosial yang pesat, pembentukan sahsiah serta pembangunan potensi kanak-kanak perlu diberi perhatian sejak usia muda. Menyedari kepentingan tersebut, program Caliph Camp 7.0 akan dilaksanakan selama tiga hari di Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 2 Jun hingga 4 Jun 2026 dengan pengisian yang padat, interaktif dan penuh nilai pembelajaran. Program ini melibatkan penyertaan kanak-kanak berusia lapan hingga tiga belas tahun dengan pelbagai aktiviti yang dirangka khusus bagi membantu peserta membina keyakinan diri, meningkatkan kreativiti serta memupuk semangat kepimpinan. Keunikan program ini terletak pada penerapan lima elemen utama iaitu Quranik, Ensiklopedik, Ijtihadik, STEM dan seni kreatif.
Sepanjang program berlangsung, peserta bukan sahaja akan didedahkan dengan aktiviti santai dan menyeronokkan, malah turut mengikuti modul yang mampat dengan informasi serta pembelajaran bermakna. Melalui elemen Quranik, peserta diterapkan dengan nilai-nilai murni, adab dan pembentukan rohani dalam kehidupan seharian. Elemen Ensiklopedik pula memberi peluang kepada peserta menambah ilmu pengetahuan melalui aktiviti berbentuk eksplorasi dan pembelajaran interaktif.
Selain itu, elemen Ijtihadik membantu peserta berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan masalah serta membuat keputusan. Menurut Aidil Putera, Yang Di Pertua kelab berkata“aktiviti berasaskan STEM turut dilaksanakan bagi menarik minat kanak-kanak terhadap dunia sains, teknologi dan inovasi melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan dan mudah difahami”. Tidak ketinggalan, elemen seni kreatif memberi ruang kepada peserta mengekspresikan idea dan bakat mereka secara lebih terbuka serta yakin.
Sepanjang tiga hari program berlangsung, suasana di UPSI dipenuhi dengan semangat, gelak tawa dan keterujaan para peserta dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Menurut Nor Athirah, salah seorang pelaksana program ini berkata “program seperti ini bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada kanak-kanak, malah menjadi platform penting dalam membantu mereka membina jati diri, kemahiran komunikasi dan semangat bekerjasama sejak usia muda”.
Penganjuran program seumpama ini membuktikan bahawa pembelajaran tidak hanya berlaku di dalam bilik darjah, tetapi juga melalui pengalaman, interaksi dan aktiviti yang mampu memberi impak positif kepada perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Dengan pengisian yang seimbang antara ilmu, kreativiti dan pembentukan sahsiah, program ini diharapkan dapat melahirkan generasi muda yang lebih berkeyakinan, berilmu dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.