(Sesi temu bual)
Oleh: Puteri Wahyu dan Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hassan
Tanjong Malim- Dalam era digital yang semakin maju, penyebaran maklumat berlaku dengan sangat pantas melalui pelbagai platform seperti media sosial, aplikasi pesanan ringkas dan laman sesawang. Walaupun perkembangan ini memudahkan akses kepada maklumat, ia juga membuka ruang kepada penyebaran berita palsu atau fake news yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat.
Menurut seorang pelajar lepasan SPM Nur Fatin, 18 tahun berpandangan bahwa berita palsu merupakan satu ancaman besar kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada individu, masyarakat dan negara jika tidak dibendung dengan segera. Antara bahaya utama berita palsu ialah ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai. Apabila sesuatu maklumat yang tidak benar disebarkan, masyarakat mungkin mempercayainya tanpa membuat semakan terlebih dahulu. Apatah lagi jika isu berkaitan kesihatan masyarakat, hal ini akan menjatuhkan pandangan terhadap kerajaan.
Selain itu menurut Suffi Najihah 22 tahun, berita palsu turut memberi kesan negatif kepada ekonomi. Maklumat tidak benar mengenai sesuatu produk, syarikat atau institusi kewangan boleh menjejaskan keyakinan orang ramai dan seterusnya merugikan pihak yang terlibat. Masyarakat perlu lebih berwaspada dan sentiasa ‘double check’ untuk setiap perkara. Jangan mengambil remeh apa sahaja.
Kesimpulannya, berita palsu membawa pelbagai kesan negatif yang serius kepada masyarakat. Oleh itu, setiap individu perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat. Kita hendaklah sentiasa menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum mempercayai atau berkongsinya agar kesejahteraan masyarakat dapat dikekalkan.