Apakah Pandangan Anda Mengenai Berita Palsu Masyarakat ?


Staf Akademik, Takim dan Pelajar


Oleh: RAMK VHARMA A/L MANIVANNAN MUNIANDY & DR. AHMAD SAUFFIYAN BIN ABU HASAN


TANJUNG MALIM: Pandangan masyarakat mengenai berita palsu berbeza dari segi golongan umur 20-an dan golongan umur 50-an. 


Berita palsu didefinisikan sebagai sebarang bentuk maklumat, visual seperti gambar dan video, atau kandungan digital yang tidak mempunyai asas kebenaran, direka cipta secara sengaja, atau disebarluaskan tanpa melalui proses verifikasi daripada sumber rasmi atau pihak berkuasa utama. Fenomena ini bukan sekadar kesilapan fakta, tetapi sering kali merupakan strategi terancang yang bertujuan untuk mengelirukan persepsi umum, mempengaruhi opini politik atau sosial, mahupun mencetuskan reaksi emosi yang melampau seperti kegelisahan dan kemarahan dalam kalangan masyarakat. Dalam era digital yang serba pantas, manipulasi maklumat ini mampu tersebar dengan meluas sebelum sempat disangkal, menjadikannya ancaman serius kepada keharmonian dan kestabilan komuniti.


Misalnya, penyebaran berita bahawa sesuatu bencana atau kejadian jenayah berlaku di kawasan tertentu sedangkan maklumat tersebut tidak disahkan oleh pihak berkuasa


Noraida Binti Azlin, 27, seorang pelajar berkursus META-komputer yang turut menceburi bidang perniagaan, menyatakan bahawa tahap kesedaran masyarakat mengenai bahaya berita palsu masih berada di tahap yang membimbangkan. Menurut beliau, pelaksanaan kempen kesedaran yang lebih agresif dan menyeluruh amat diperlukan untuk mendedahkan taktik penipuan maklumat serta memberikan jalan penyelesaian praktikal kepada masyarakat dalam menangani isu ini. Noraida turut menekankan bahawa golongan warga emas merupakan kelompok yang paling mudah terdedah kepada ancaman berita palsu. Hal ini disebabkan oleh ketiadaan akses atau kemahiran dalam menggunakan media sosial secara kritikal, yang menyebabkan mereka sukar untuk membezakan serta mengesahkan maklumat yang benar berbanding kandungan yang direka cipta.


Jefri Anak Samsul, seorang staf akademik di UPSI, memberikan pandangan bahawa setiap individu memikul tanggungjawab besar dalam menguruskan maklumat yang diterima. Beliau menegaskan bahawa tanpa mengira status berita itu sama ada kelihatan benar atau meragukan, penerima seharusnya mengamalkan sikap menyiasat dan mengkaji (tabayyun) terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Beliau turut mempersoalkan integriti maklumat yang diterima, sama ada ia bertujuan untuk menyampaikan kebenaran atau sekadar alat manipulasi untuk memupuk pengaruh negatif terhadap orang lain. Bagi beliau yang kini berada dalam lingkungan umur 50-an, terdapat kebimbangan terhadap kecenderungan Generasi Z yang sering menerima maklumat secara bulat-bulat dan menyebarkannya ke platform media sosial dengan pantas tanpa usul periksa. Tindakan sedemikian sering dilakukan semata-mata untuk mengejar populariti (viral) tanpa memikirkan impak jangka panjang. Selain itu, beliau turut menyentuh aspek politik, di mana berita palsu sering kali dijadikan taktik atau "mainan politik" untuk mengelirukan persepsi awam.


Dalam konteks struktur masyarakat, golongan dewasa muda dan warga emas dikenal pasti sebagai kelompok yang paling mudah dipengaruhi oleh berita palsu atas faktor-faktor yang berbeza. Dewasa muda, walaupun lebih celik teknologi dan secara amnya bersikap skeptikal terhadap kandungan media sosial, masih terdedah kepada risiko akibat lambakan maklumat dalam talian yang ekstrem. Kepantasan kitaran maklumat di media sosial kadangkala mendorong mereka berkongsi sesuatu berita tanpa melakukan semakan fakta yang mencukupi.


Sebaliknya, golongan warga emas pula sering terjebak dengan berita palsu melalui saluran yang lebih peribadi seperti aplikasi pesanan WhatsApp, Facebook, serta perkongsian daripada kenalan rapat dan ahli keluarga. Kepercayaan tinggi terhadap individu dalam lingkungan sosial terdekat menyebabkan mereka lebih mudah menerima maklumat tanpa ragu-ragu. Kekurangan kemahiran dalam menggunakan platform semakan fakta digital menyukarkan mereka membezakan sumber sahih daripada sumber yang berniat jahat. Kandungan yang menyentuh emosi, keselamatan peribadi, isu kesihatan, dan agama didapati paling berkesan dalam memperdayakan golongan ini. Namun begitu, pengalaman hidup yang luas juga menjadikan sebahagian warga emas lebih berhati-hati dan tidak mudah melatah sebelum mempercayai sesuatu maklumat yang diterima.


Kesimpulannya, setiap individu tanpa mengira usia perlu menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi. Budaya 'selidik sebelum sebar' adalah kunci utama bagi membendung penularan berita palsu dalam masyarakat. Manakala, kaum dewasa muda lebih cenderung melihat berita palsu sebagai isu literasi media dan teknologi, namun warga emas lebih bergantung kepada kepercayaan terhadap individu yang menyebarkan maklumat tersebut. 

Oleh itu, usaha meningkatkan kesedaran tentang berita palsu perlu disesuaikan mengikut umur supaya mesej disampaikan dengan lebih berkesan.