(Obama dan Mamdani berinteraksi mesra bersama kanak-kanak)
Oleh: Amirah Madihah Abdul Muttalib & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
BRONX— Bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, bertemu buat pertama kali dengan Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, dalam satu program komuniti bersama kanak-kanak prasekolah di Bronx pada Sabtu, apabila beliau mengetuai sesi nyanyian lagu “Wheels on the Bus” sebagai usaha mendekati masyarakat serta menyokong pendidikan awal kanak-kanak.
Dalam program berkenaan, Obama dilihat berinteraksi secara santai dan mesra bersama kanak-kanak, termasuk menyertai aktiviti nyanyian dan hiburan yang menceriakan suasana. Mamdani turut bersama-sama menyertai aktiviti tersebut, sekali gus menunjukkan sokongan terhadap inisiatif komuniti di kawasan berkenaan.
Rakaman video yang dikongsikan oleh Associated Press memperlihatkan gelagat ceria kanak-kanak yang menyanyi dan bergerak mengikuti lagu, sambil diiringi kedua-dua pemimpin itu. Suasana penuh kegembiraan jelas terpancar sepanjang program berlangsung.
Pertemuan ini menandakan interaksi sulung antara Obama dan Mamdani sejak pelantikan Mamdani sebagai Datuk Bandar New York, selain mencerminkan pendekatan kepimpinan yang lebih dekat dengan masyarakat.
Program seumpama itu dilihat mampu memperkukuh hubungan antara pemimpin dan komuniti setempat, khususnya dalam memberi perhatian kepada aspek pendidikan awal kanak-kanak yang menjadi asas penting pembangunan generasi masa depan.
Sumber: Associated Press / AP News