Oleh:Nor Bazlaa Damia & Dr. Sauffiyan Abu Hasan

TANJUNG MALIM – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan mahasiswa hari ini. Teknologi tersebut bukan sahaja membantu mencari maklumat dengan cepat, malah turut digunakan sebagai alat sokongan dalam proses pembelajaran dan penyediaan tugasan akademik.
Bagi pelajar Semester 4 Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Perisian Pendidikan), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Uswatul Hasanah, penggunaan AI banyak membantunya memahami topik yang sukar dan menjana idea untuk tugasan. “Saya menggunakan ChatGPT dan juga Gemini dalam pembelajaran saya. Medium ini membantu saya memahami topik yang kompleks, mencari idea dan membantu dalam penulisan tugasan,” katanya. Menurutnya, antara kelebihan utama ChatGPT ialah keupayaannya memberikan penjelasan yang ringkas dan mudah difahami. “ChatGPT membantu dalam pembelajaran dengan memberi penjelasan yang cepat dan membantu saya memahami topik yang sukar. Namun, saya hanya menggunakannya sebagai rujukan tambahan sahaja,” jelasnya.
Pandangan tersebut turut dikongsi oleh Siti Ramiani, pelajar Semester 4 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak UPSI. Selain ChatGPT, beliau juga menggunakan beberapa platform AI lain seperti Gemini, NotebookLM, Suno AI dan Grok AI dalam pembelajarannya. Menurut beliau, AI memudahkan pelajar mendapatkan maklumat dan penerangan tentang sesuatu topik tanpa perlu mengambil masa yang lama untuk mencari sumber. “ChatGPT membantu saya mencari idea, membuat ringkasan nota, menyemak tatabahasa dan memahami konsep yang sukar melalui penerangan yang lebih terperinci,” katanya. Tambahnya, penggunaan AI turut menjimatkan masa dan membolehkan pelajar belajar secara kendiri pada bila-bila masa.
Walaupun mengakui banyak manfaat yang diperoleh daripada teknologi tersebut, kedua-dua mahasiswa itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan pelajar menjadi terlalu bergantung kepada AI. Uswatul Hasanah berpendapat penggunaan AI tanpa kawalan boleh menyebabkan pelajar kurang berfikir sendiri dan terlalu bergantung kepada jawapan yang diberikan. “Jika digunakan tanpa kawalan, pelajar mungkin kurang berfikir sendiri dan terlalu bergantung pada jawapan segera. Namun, jika digunakan dengan betul sebagai alat bantuan, AI sebenarnya boleh membantu meningkatkan kefahaman dan pembelajaran,” katanya.
Siti Ramiani pula berpendapat penggunaan AI secara berlebihan boleh menjejaskan perkembangan kemahiran berfikir kritis dalam kalangan pelajar. “Walaupun AI dapat membantu dalam pembelajaran, terdapat risiko apabila pelajar terlalu bergantung kepadanya sehingga kurang berusaha untuk berfikir, menganalisis dan menyelesaikan masalah sendiri,” ujarnya. Beliau berkata pelajar perlu memahami isi kandungan yang diperoleh daripada AI dan bukannya terus menggunakan maklumat tersebut tanpa membuat semakan.
Dalam aspek etika penggunaan AI, kedua-dua responden bersetuju bahawa teknologi tersebut perlu digunakan sebagai alat bantuan pembelajaran dan bukannya sebagai jalan pintas untuk menyiapkan tugasan. Menurut Uswatul Hasanah, pelajar perlu menyemak kesahihan maklumat yang diberikan oleh AI serta berusaha memahami kandungannya sebelum digunakan. Sementara itu, Siti Ramiani menegaskan bahawa AI tidak seharusnya menggantikan pemikiran
manusia. “Cara terbaik menggunakan AI secara beretika adalah menjadikannya sebagai alat bantuan pembelajaran, bukan pengganti pemikiran sendiri,” katanya.
Kedua-dua mahasiswa itu berharap penggunaan AI dalam pendidikan dapat terus dimanfaatkan secara positif pada masa hadapan. Mereka percaya teknologi tersebut mampu menjadikan pembelajaran lebih mudah dan berkesan jika digunakan dengan bijak serta bertanggungjawab. Seiring perkembangan teknologi digital, AI dilihat berpotensi menjadi rakan pembelajaran yang membantu mahasiswa menghadapi cabaran akademik. Namun, keseimbangan antara penggunaan teknologi dan usaha pembelajaran kendiri tetap penting bagi memastikan pelajar terus mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.