Dari Borneo ke Perak: Pengalaman Pelajar UPSI; Makanan, Cabaran & Persekitaran

 

Oleh : Ridianatasya Binti Rizal dan Ahmad Saufiyyan bin Abu Hasan

TANJONG MALIM – Setiap manusia mempunyai impian dan keinginan tersendiri, terutamanya dalam usaha melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi demi menjamin masa depan. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dikenali sebagai universiti pendidikan nombor satu di Malaysia, sering kali menjadi destinasi idaman dan sebutan dalam kalangan pelajar. Tarikan ini tidak terkecuali buat anak-anak muda dari kepulauan Borneo, Sabah dan Sarawak. Institusi keramat ini bukan sahaja menawarkan pelbagai program akademik yang relevan dan berdaya saing, malah menyediakan fasiliti serta kemudahan pembelajaran yang kondusif untuk pertumbuhan intelek mahasiswa.

Namun begitu, perjalanan merentasi Laut dari Borneo ke negeri Perak bukanlah satu langkah yang mudah. Ia menjadi bukti nyata kemurnian kesungguhan para pelajar yang sanggup merantau ribuan kilometer demi menuntut ilmu. Penghijrahan ini mencerminkan tekad dan semangat kental mahasiswa Borneo untuk mengubah nasib hidup. Bagi mereka, jarak yang memisahkan tanah kelahiran dan tempat menimba ilmu bukanlah satu halangan atau cabaran yang mampu mematahkan semangat, sebaliknya ia menjadi jambatan menuju kejayaan.

Antara perkara paling ketara dan paling awal dirasai oleh pelajar Borneo apabila menjejakkan kaki ke Semenanjung ialah perbezaan budaya makanan. Proses adaptasi menu harian ini memerlukan masa yang agak lama. Menurut Christoper Leo, seorang pelajar semester empat yang berasal dari Sarawak:

“Agak sukar untuk mengadaptasi diri dengan makanan di sini pada peringkat awal kerana banyak makanan baharu yang saya temui.”

Menurut beliau, variasi makanan di Semenanjung secara asasnya tidaklah terlalu berbeza dengan acuan masakan di Sarawak. Walau bagaimanapun, lidahnya yang sudah terbiasa dengan rasa masakan tempat asal menyebabkan beliau agak kurang berselera makan pada fasa awal semester. Beliau turut berkongsi bahawa hidangan autentik Sarawak tidaklah mustahil untuk didapati di Semenanjung, namun harganya agak mahal berbanding harga di bumi Kenyalang.

“Bagi mengubati kerinduan yang mendalam kepada kampung halaman, saya mengambil inisiatif untuk cuba memasak sendiri masakan Sarawak seperti Laksa Sarawak di kolej kediaman,” katanya ketika di temubual pada Mac 2026 yang lalu.

Selain faktor makanan, aspek persekitaran dan sosiobudaya turut memberikan impak tersendiri kepada mahasiswa perantau. Menurut sumber kedua, Iman Ziedan, antara pengalaman berharga yang diperoleh setelah menjejakkan kaki di bumi Muallim ini ialah pendedahan kepada persekitaran fizikal yang dinamik. Semenanjung dilihat sebagai kawasan yang menawarkan kemudahan pengangkutan awam yang lebih maju dan lengkap, seperti perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad Electric Train Service (KTM ETS) dan Kuala Lumpur Monorail (KL Monorail) yang memudahkan mobiliti pelajar.

Dari sudut sosial, walaupun cara hidup masyarakat tidak memperlihatkan perbezaan yang terlalu ekstrem, kepelbagaian loghat negeri di Semenanjung seperti loghat Perak, Kedah, mahupun pantai timur sedikit sebanyak menimbulkan halangan komunikasi atau “language barrier” pada peringkat awal. Namun, halangan tersebut tidak dilihat sebagai penghalang. Sebaliknya, peluang emas ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh mahasiswa untuk mempelajari budaya baharu.

Menurut Iman lagi: “Saya sengaja memilih untuk belajar di luar zon selesa (Borneo) kerana di sinilah saya berpeluang untuk bergaul rapat dan mempelajari keunikan loghat-loghat mereka secara langsung.”

Dalam menelusuri ranjau pengalaman sebagai anak perantau, cabaran domestik dan logistik kekal menjadi ujian terbesar. Antara isu paling kritikal yang sering mengganggu fokus pembelajaran ialah kekangan kewangan. Mahasiswa Borneo terpaksa berhadapan dengan kos tiket penerbangan domestik yang tidak menentu dan kadangkala melambung tinggi, terutamanya apabila berlaku kenaikan harga minyak dunia atau musim perayaan. Situasi ini menuntut mereka menguruskan perbelanjaan harian dengan seketatnya demi kelangsungan hidup tanpa bergantung sepenuhnya kepada wang ihsan keluarga di kampung.

Bagaimanapun, segala badai cabaran ini sedikit pun tidak menggoyahkan prinsip hidup seorang pelajar semester empat yang berasal dari Sabah, Rafia Abdullah. Anak muda ini mempamerkan satu sisi matang yang sangat mengagumkan.

“Perkara ini tidak menjadi halangan untuk saya melanjutkan pelajaran di negeri orang. Sebagai anak sulung, saya memikul tanggungjawab besar untuk meneruskan cita-cita ini agar sembilan orang adik saya yang lain dapat menjadikan saya sebagai inspirasi dan rujukan untuk berjaya suatu hari nanti,” jelasnya.

Rafia, anak sulung daripada sepuluh beradik, membuktikan bahawa cabaran kewangan bukanlah batu penghalang, melainkan sumber kekuatan utama dan motivasi untuk dia terus bangkit berusaha bersungguh-sungguh dalam dunia akademik.

Secara tuntasnya, naratif perjalanan “Dari Borneo ke Perak” merupakan sebuah kembara yang penuh dengan warna-warni kehidupan dan pengajaran bermakna. Melalui fasa adaptasi makanan, pendedahan persekitaran baharu, serta ketabahan mendepani ujian kewangan, pelajar-pelajar Borneo di UPSI ini bukan sekadar datang untuk menggulung segulung ijazah. Lebih daripada itu, mereka sedang membentuk acuan jati diri yang lebih kukuh, berdikari, dan berdaya saing. Pengalaman berharga di bumi Muallim ini pastinya akan kekal terpahat sebagai memori terindah yang mendewasakan mereka sebagai pemimpin masyarakat pada masa hadapan.