Gambar peserta dan penganjur sebelum UPSI Charity Run.
Oleh: Nurul Sufi Sufa’a Mohamad Nizam & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
TANJONG MALIM- Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan UPSI Charity Run 2026 (5KM) di Padang Kawad, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa di samping memupuk semangat kebajikan dan kesukarelawan.
Program yang berlangsung dari pukul 7.00 pagi hingga 2.00 petang itu terbuka kepada semua pelajar UPSI. Penganjuran larian amal tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan apabila pelajar daripada pelbagai fakulti hadir untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang menggabungkan elemen kesihatan dan kebajikan.
Larian sejauh lima kilometer itu memberi peluang kepada peserta untuk mengamalkan gaya hidup aktif serta meningkatkan tahap kecergasan fizikal. Selain itu, program tersebut turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa melalui penyertaan dalam aktiviti yang sihat dan bermanfaat.
Gambar peserta yang memenangi hadiah larian.
Bagi menambahkan kemeriahan program, pihak penganjur menyediakan pelbagai hadiah menarik kepada para peserta. Hamper eksklusif ditawarkan kepada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga, manakala sebanyak 20 cabutan bertuah turut disediakan bagi memberi peluang kepada peserta memenangi hadiah istimewa.
Selain itu, 10 peserta terawal yang berjaya menamatkan larian menerima medal eksklusif sebagai penghargaan atas usaha dan semangat yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung. Semua peserta juga diberikan e-sijil penyertaan serta pengiktirafan melalui sistem MyCHAMP.
Gambar peserta dan penganjur selepas menamatkan program Charity Run.
Penganjuran UPSI Charity Run 2026 membuktikan komitmen PERMOR dalam melaksanakan program yang memberi manfaat kepada mahasiswa dari aspek kesihatan fizikal, kesejahteraan diri dan pembangunan sahsiah. Program seperti ini juga dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian.
Secara keseluruhannya, UPSI Charity Run 2026 berjaya mencapai matlamatnya dalam mempromosikan budaya hidup sihat serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga UPSI melalui aktiviti yang menyeronokkan dan bermakna.