Oleh: Caronella Jamis & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
TANJUNG MALIM, 19 Mei – Program Food Bank yang dijalankan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menjadi salah satu inisiatif kebajikan yang membantu pelajar menghadapi cabaran kos sara hidup di kampus.
Program tersebut menyediakan pelbagai barangan makanan asas seperti mi segera, roti, biskut, minuman dan makanan ringan untuk diambil secara percuma oleh pelajar yang memerlukan. Inisiatif itu mendapat sambutan baik dalam kalangan mahasiswa kerana mampu membantu mengurangkan perbelanjaan harian mereka.
Menurut salah seorang pelaksana program, kewujudan Food Bank sedikit sebanyak membantu pelajar yang menghadapi kesukaran kewangan terutama pada penghujung semester.
“Ramai pelajar sebenarnya memerlukan bantuan seperti ini kerana ada yang perlu berjimat untuk perbelanjaan harian dan keperluan pembelajaran. Program ini dapat membantu mereka mendapatkan makanan asas dengan lebih mudah,” katanya.
Beliau turut berkata program tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima bantuan malah memupuk nilai prihatin dan semangat tolong-menolong dalam kalangan warga universiti.
Sementara itu, seorang pelajar UPSI yang menggunakan perkhidmatan Food Bank meluahkan rasa syukur terhadap usaha yang dilakukan oleh pihak universiti dan sukarelawan.
“Saya rasa sangat bersyukur kerana program ini membantu mengurangkan beban perbelanjaan saya sebagai pelajar. Kadang-kadang makanan yang disediakan memang sangat membantu terutama apabila duit semakin berkurang,” ujarnya.
Menurutnya lagi, program seperti itu memberi kesedaran bahawa masih ramai pihak yang prihatin terhadap kebajikan mahasiswa di kampus.
Program Food Bank UPSI diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang agar lebih ramai pelajar dapat menerima manfaat selain mewujudkan suasana kampus yang lebih prihatin dan saling membantu antara satu sama lain.