Oleh : Akmal Haziq Sulaiman & Dr Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
Rajah
1: Warga Universiti Pendidikan Sultan Idris dan masyarakat Muallim hadir
memeriahkan Solat Sunat Aidiladha di Masjid Al-Mursyidin UPSI pada 27 Mei 2026
bersamaan 10 Zulhijjah 1447H.
TANJONG MALIM, 27 Mei — Universiti Pendidikan Sultan Idris terus
menyemarakkan sambutan Aidiladha tahun ini menerusi penganjuran Solat Sunat
Aidiladha yang berlangsung di Masjid Al-Mursyidin UPSI dengan kehadiran warga
universiti serta masyarakat sekitar Muallim.
Program yang berlangsung pada Rabu, 27
Mei 2026 bersamaan 10 Zulhijjah 1447H itu bermula seawal jam 8.15 pagi di Dewan
Solat Utama Masjid Al-Mursyidin UPSI. Sambutan tersebut dianjurkan bagi
mengimarahkan syiar Islam di samping mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga
kampus dan komuniti setempat.
Rajah
2 : Poster hebahan Solat Sunat Aidiladha 1447H anjuran Universiti Pendidikan
Sultan Idris yang berlangsung di Masjid Al-Mursyidin UPSI pada 27 Mei 2026.
Solat Sunat Aidiladha telah dipimpin
oleh Ustaz Muhammad Majdan bin Ismail selaku imam bertugas, manakala tugas
bilal dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Safwan bin Ismail. Kehadiran para jemaah
yang terdiri daripada pelajar, staf UPSI dan penduduk sekitar jelas
menggambarkan semangat kebersamaan dalam menghayati erti pengorbanan dan
keikhlasan yang menjadi inti pati sambutan Aidiladha.
Selain pelaksanaan ibadah solat sunat,
khutbah Aidiladha yang disampaikan turut memberi penekanan terhadap nilai
pengorbanan, kepatuhan kepada perintah Allah SWT serta kepentingan
memperkukuhkan hubungan silaturahim sesama masyarakat. Suasana penuh harmoni
dan kesyukuran jelas dirasai sepanjang program berlangsung.
Turut hadir menunaikan ibadah tersebut
ialah Muhammad Ammar Firdaus, seorang pelajar semester 4, yang meluahkan rasa
syukurnya dapat bersama-sama menyambut perayaan ini di kampus. "Suasana
sambutan di Masjid Al-Mursyidin sangat meriah dan sedikit sebanyak dapat
mengubat kerinduan pelajar seperti saya yang tidak dapat pulang ke kampung
halaman. Ia memberi peluang untuk merasai sendiri kemeriahan ukhuwah Aidiladha
bersama rakan-rakan mahasiswa dan komuniti setempat," katanya.
Penganjuran program keagamaan seperti
ini mencerminkan komitmen UPSI dalam memperkukuhkan pembangunan sahsiah dan
spiritual warga universiti, selari dengan usaha melahirkan masyarakat yang
seimbang dari aspek intelektual, rohani dan sosial. Sambutan Aidiladha di
Masjid Al-Mursyidin UPSI juga menjadi platform penting dalam menyatukan
komuniti kampus bersama masyarakat Muallim menerusi penghayatan nilai-nilai
Islam yang murni.