Oleh Muhammad Ammar Haziq
TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengangkat martabat profesion perguruan menerusi Sambutan Hari Guru 2026 yang berlangsung penuh meriah di Auditorium Utama UPSI dengan penyertaan warga universiti dan tetamu jemputan.
Sebagai institusi yang sinonim dengan pendidikan guru, sambutan tersebut membawa makna yang cukup istimewa kepada mahasiswa UPSI yang bakal melangkah ke dunia perguruan. Program yang bermula seawal jam 9.00 pagi itu menjadi platform penghargaan kepada para pendidik yang telah banyak berjasa dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak.
Majlis diserikan dengan ketibaan Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff sebelum dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Lagu Kebesaran Negeri Perak dan bacaan Al-Fatihah. Suasana yang penuh semangat jelas menggambarkan penghormatan tinggi warga universiti terhadap profesion perguruan yang menjadi tunjang pembangunan negara.
Sambutan diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Sidang 2025/2026, Muhammad Luqman Hakim Zulikhsyam sebelum Naib Canselor menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Guru UPSI 2026 serta melancarkan inisiatif “Sehari RM1 Seumur Hidup Berbakti”.
Dalam ucapan perasmian, Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff menegaskan bahawa profesion perguruan bukan sekadar kerjaya, malah merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.
"Ingat, guru bukan satu pangkat, guru bukan satu pekerjaan. Guru adalah amanah, guru adalah tanggungjawab yang akan kita bawa hingga akhir hayat," katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Guru UPSI 2026.
Menurut beliau, guru memainkan peranan penting dalam membentuk modal insan berkualiti serta menjadi tonggak utama dalam pembangunan masyarakat dan negara. Justeru, bakal pendidik perlu sentiasa menghayati nilai integriti, dedikasi dan semangat pengorbanan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Muhammad Aiman dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI menyifatkan sambutan tersebut sebagai satu pengalaman bermakna yang memberi kesedaran tentang peranan sebenar seorang guru.
"Sebagai bakal guru, saya melihat sambutan ini sebagai peringatan bahawa tugas seorang pendidik bukan sekadar mengajar di dalam kelas, tetapi juga membimbing dan membentuk pelajar menjadi insan yang lebih baik," katanya.
Turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah bacaan Ikrar Hari Guru dan nyanyian lagu “Kami Guru Malaysia” yang berjaya menaikkan semangat serta rasa bangga terhadap profesion perguruan. Momen tersebut menjadi antara pengisian paling bermakna kerana menyatukan seluruh warga universiti dalam satu semangat menghargai jasa para guru.
Selain itu, sambutan turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan termasuk Deklamasi Sajak Hari Guru, persembahan daripada murid Sekolah Seri Budiman serta persembahan khas daripada pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI.
Lebih daripada sekadar sambutan tahunan, program ini turut menjadi medium untuk mengeratkan hubungan antara warga universiti serta menyemarakkan semangat kekeluargaan dalam komuniti kampus. Kehadiran warga UPSI yang memenuhi auditorium membuktikan bahawa penghormatan terhadap profesion perguruan terus subur dalam kalangan generasi muda.
Sebagai tanda penghargaan kepada individu yang telah memberikan sumbangan besar dalam bidang pendidikan dan pembangunan universiti, majlis turut disusuli dengan penyampaian cenderamata kepada penerima terpilih.
Secara keseluruhannya, Sambutan Hari Guru 2026 di UPSI berjaya mencapai objektifnya dalam menyemarakkan penghargaan terhadap warga pendidik serta meningkatkan kesedaran mahasiswa mengenai tanggungjawab besar seorang guru. Sambutan ini membuktikan bahawa jasa dan pengorbanan guru akan sentiasa dihargai selaras dengan peranan UPSI sebagai institusi peneraju pendidikan negara.