Sesi temu bual bersama Felicia Jane Anak Angkuh, pelajar Komunikasi Semester 2, mengenai manfaat Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kepada mahasiswa. (Foto: Arlyenah Musah)
Oleh: Arlyenah Musah
TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh hubungan dengan pihak industri menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara universiti dan lima rakan industri strategik yang berlangsung baru-baru ini.
Majlis yang amat penting ini telah dianjurkan oleh Fakulti Bahasa dan Komunikasi untuk tujuan memperluaskan jaringan kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi serta pembangunan bakat mahasiswa.
Program tersebut menghimpunkan naib canselor, pensyarah, mahasiswa komunikasi dan pihak industri dalam usaha mewujudkan kerjasama yang lebih erat serta memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Melalui memorandum persefahaman yang dimeterai, pelbagai peluang kerjasama dijangka dapat dilaksanakan pada masa hadapan termasuk latihan industri, penyelidikan bersama dan pembangunan kemahiran pelajar.
Menurut Felicia Jane Anak Angkuh, pelajar Komunikasi Sosial Semester 2 yang turut menghadiri majlis tersebut, program seperti ini memberikan gambaran yang lebih jelas tentang hubungan antara institusi pendidikan dan industri.
“Melalui majlis ini, saya dapat memahami bagaimana kerjasama antara universiti dan industri dapat membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa, khususnya dari segi latihan industri dan pembangunan kerjaya,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pendedahan kepada program sebegini penting bagi membantu mahasiswa memahami keperluan industri dan mempersiapkan diri sebelum menamatkan pengajian.
Selain memperkukuh hubungan strategik, majlis tersebut juga mencerminkan komitmen UPSI dalam melahirkan graduan yang berdaya saing serta memenuhi kehendak pasaran pekerjaan yang sentiasa berkembang.
Sebagai peserta program, saya melihat inisiatif ini sebagai satu langkah positif dalam memastikan mahasiswa mendapat manfaat daripada kerjasama antara universiti dan pihak industri. Saya yakin jalinan kerjasama ini pasti akan membuka ruang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran dan pengalaman profesional.
Diharapkan usaha ini dapat menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih mampan antara UPSI dan rakan industri, sekali gus menyumbang kepada pembangunan pendidikan serta melahirkan graduan yang berkualiti dan kompetitif pada masa hadapan.