Sedekad Mengalun Harmoni: DeVokalis UPSI Rai Ulang Tahun Ke-10


Oleh :Muhammad Adnan Bin Ju 


TANJUNG MALIM, Suasana Panggung Budaya, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam tadi dipenuhi dengan alunan harmoni dan semangat seni apabila Koir DeVokalis UPSI meraikan ulang tahun ke-10 penubuhannya menerusi konsert istimewa bertemakan “Harmonic Odyssey: A Decade of DeVokalis Choir”. 

Program yang berlangsung pada Sabtu malam itu menghimpunkan warga universiti, peminat seni muzik, alumni serta tetamu jemputan bagi menyaksikan perjalanan seni dan pencapaian yang telah dilakar oleh kumpulan koir tersebut sepanjang sedekad penubuhannya. 

Pintu masuk Panggung Budaya dibuka seawal jam 7.45 malam bagi membolehkan para penonton mengambil tempat masing-masing sebelum ketibaan tetamu kehormat dan dif-dif jemputan. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Yang Berbahagia Datuk Haji Iskandar Ismail dan isteri, serta Naib Canselor UPSI, Yang Berbahagia Professor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff dan isteri.

Tepat jam 8.25 malam, para tetamu kehormat diiringi masuk ke dalam dewan sebelum majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku, lagu negeri Perak serta lagu rasmi universiti, Ibu Kandung Suluh Budiman. 

Konsert diteruskan dengan pelbagai persembahan istimewa yang menampilkan keunikan vokal dan kreativiti ahli-ahli DeVokalis. Persembahan yang dipersembahkan bukan sahaja menghiburkan penonton, malah menggambarkan perkembangan kumpulan koir tersebut yang telah berkembang menjadi antara kumpulan seni yang aktif dan dikenali dalam kalangan warga universiti. 

Tema “Harmonic Odyssey” dipilih bagi melambangkan perjalanan seni yang dilalui oleh DeVokalis sepanjang sepuluh tahun penubuhannya. Dalam tempoh tersebut, kumpulan koir berkenaan telah berjaya melahirkan ramai bakat muda serta mewakili universiti dalam pelbagai program dan pertandingan seni di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

Selain persembahan utama, majlis turut menyaksikan penyampaian token penghargaan kepada para konduktor yang telah memainkan peranan penting dalam membimbing dan membangunkan kumpulan koir tersebut sejak penubuhannya. Penghargaan itu diberikan sebagai tanda terima kasih atas komitmen dan sumbangan mereka dalam memperkasakan budaya seni muzik di universiti. 

Menurut pihak penganjur, konsert tersebut bukan sekadar platform hiburan, malah menjadi medium untuk menghargai usaha dan dedikasi semua individu yang terlibat dalam perjalanan DeVokalis selama sedekad. Ia juga menjadi simbol perpaduan, kreativiti dan semangat kerja berpasukan yang menjadi tunjang kepada kejayaan kumpulan itu. 

Seorang penonton, Adli, berkata persembahan yang dipersembahkan berjaya memberikan pengalaman yang mengagumkan kepada para hadirin. 

“Persembahan yang ditampilkan sangat berkualiti dan penuh emosi. Saya dapat melihat usaha serta komitmen ahli-ahli koir dalam menjayakan konsert ini. Ia benar-benar memberikan pengalaman yang istimewa kepada penonton,” katanya. 

Sementara itu, seorang ahli DeVokalis, Amirul, menyifatkan konsert ulang tahun ke-10 itu sebagai satu pencapaian bermakna buat semua ahli yang terlibat.

“Konsert ini menjadi bukti kepada perjalanan panjang yang telah dilalui oleh DeVokalis. Kami berharap kumpulan ini akan terus berkembang dan melahirkan lebih ramai bakat dalam bidang seni persembahan pada masa akan datang,” katanya. 

Majlis yang berakhir sekitar jam 10.15 malam itu mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada penonton yang hadir. Kejayaan penganjuran “Harmonic Odyssey: A Decade of DeVokalis Choir” bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan seni dalam kalangan mahasiswa UPSI, malah membuktikan bahawa muzik terus menjadi medium yang mampu menyatukan komuniti universiti melalui apresiasi seni dan budaya. 

Dengan tema yang sarat dengan nostalgia dan penghargaan, konsert tersebut berjaya meninggalkan kenangan manis kepada para penonton serta menjadi satu lagi pencapaian penting dalam sejarah perjalanan Koir DeVokalis UPSI.