Kelas Dalam Talian dan Kelas Bersemuka, Apakah Pilihan Pelajar Masa Kini?

 




Oleh : Eisyatun Najihah Binti Mohd Rushdan

Seiring dengan perkembangan teknologi dalam pendidikan, institusi pengajian tinggi semakin giat mengaplikasikan pelbagai platform pembelajaran digital. Namun begitu, perdebatan mengenai keberkesanan pembelajaran secara dalam talian berbanding pembelajaran bersemuka masih menjadi isu yang sering dibincangkan oleh pelajar dan pensyarah. 

Pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melalui pengalaman menggunakan kedua-dua kaedah pembelajaran ini dan dapat merasai perbezaannya dari segi interaksi, tumpuan serta keberkesanan pembelajaran.

Daripada perspektif pelajar, Athira Binti Zainal Ariffin, pelajar tahun kedua program Komunikasi Sosial, masih memilih kelas bersemuka sebagai kaedah pembelajaran yang lebih digemarinya kerana ia membolehkannya lebih fokus dan memahami konsep yang diajar dengan lebih jelas.Menurutnya, kelas bersemuka memberikan peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pensyarah dan rakan sekelas dalam suasana bilik kuliah yang sebenar berbanding hanya melihat mereka melalui skrin.

Athira menjelaskan bahawa dia lebih mudah menumpukan perhatian ketika berada di dalam kelas fizikal, terutamanya semasa sesi perbincangan atau kuliah yang memerlukan pemahaman yang mendalam.“Saya boleh terus bertanya kepada pensyarah sekiranya ada perkara yang tidak difahami, dan suasana kelas membantu saya untuk kekal fokus,” katanya.

Walaupun begitu, beliau turut mengakui bahawa pembelajaran dalam talian mempunyai kelebihannya tersendiri, terutamanya dari segi fleksibiliti. Menurutnya, kelas dalam talian memudahkan akses kepada bahan pembelajaran, serta menjimatkan masa perjalanan ke kampus. Namun, beliau mengakui bahawa terdapat beberapa cabaran yang boleh menjejaskan prestasi akademiknya ketika mengikuti kelas secara dalam talian.“Cabaran terbesar ialah untuk kekal fokus dalam tempoh yang lama. Kadangkala saya mudah terganggu dengan keadaan sekeliling atau media sosial kerana menggunakan peranti yang sama untuk belajar,” jelasnya. Secara keseluruhannya, Athira berpendapat bahawa walaupun pembelajaran dalam talian menawarkan banyak kemudahan, kelas bersemuka masih menjadi pilihan utamanya kerana memberikan tahap fokus, interaksi dan pemahaman yang lebih baik.

Dari sudut pandangan pensyarah, menurut Dr. Siti Nor Amalina Binti Ahmad Tajuddin, seorang pensyarah dan pakar komunikasi, terdapat perbezaan yang ketara dari segi tahap penglibatan pelajar antara pembelajaran dalam talian dan pembelajaran bersemuka.

Beliau menjelaskan bahawa kelas fizikal membolehkan pensyarah melihat reaksi pelajar secara langsung melalui bahasa badan, ekspresi wajah serta tahap pemahaman mereka terhadap kandungan kuliah.

“Dalam kelas bersemuka, pensyarah dapat mengenal pasti sama ada pelajar keliru, bosan atau benar-benar memberi perhatian melalui ekspresi muka dan bahasa badan mereka,” katanya. Sebaliknya, kelas dalam talian, proses penilaian terhadap tahap penglibatan pelajar menjadi lebih mencabar kerana ramai pelajar memilih untuk menutup kamera atau mematikan mikrofon semasa sesi pembelajaran berlangsung. “Kadangkala soalan diajukan pada awal kelas tetapi pelajar hanya berdiam diri. Ada kalanya ia berpunca daripada masalah internet atau isu teknikal yang lain,” tambah beliau.

Dr. Amalina turut menyatakan bahawa walaupun pembelajaran dalam talian menawarkan fleksibiliti, ia cenderung mewujudkan pembelajaran yang lebih pasif, khususnya dalam kalangan pelajar prasiswazah. Menurut beliau, pelajar pascasiswazah biasanya lebih aktif dalam kelas talian kerana mereka mempunyai tahap kematangan, tanggungjawab dan pengurusan masa yang lebih baik. “Kebanyakan pelajar pascasiswazah merupakan individu yang sedang bekerja. Mereka lebih menghargai masa dan tetap aktif dalam proses pembelajaran walaupun secara dalam talian,” jelasnya.Namun begitu, situasi yang sama tidak semestinya berlaku dalam kalangan pelajar prasiswazah yang lazimnya memerlukan kehadiran secara fizikal bagi memastikan mereka kekal fokus dan terlibat secara aktif dalam pembelajaran.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai tahap penglibatan pelajar, Dr. Amalina mengakui bahawa teknologi memainkan peranan yang sangat penting dalam memperkukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan penggunaan yang kreatif dan strategik, platform seperti Google Meet, Microsoft Teams serta kuiz dalam talian telah menjadikan pendidikan lebih mudah diakses dan interaktif. “Teknologi ialah satu alat. Ia tidak seharusnya menggantikan interaksi manusia,” katanya.

Beliau juga percaya bahawa penggunaan teknologi mampu meningkatkan komunikasi antara pensyarah dan pelajar serta memudahkan akses kepada bahan pembelajaran. Namun, keberkesanannya masih bergantung kepada tahap penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran tersebut. Dalam sesi soal jawab, Dr. Amalina menyatakan sokongannya terhadap model pembelajaran hibrid yang menggabungkan kelas bersemuka dan pembelajaran dalam talian. Menurut beliau, kedua-dua pendekatan tersebut saling melengkapi antara satu sama lain, khususnya dalam konteks pendidikan tinggi yang memerlukan keseimbangan antara fleksibiliti dan interaksi.

“Bagi pelajar prasiswazah, saya percaya kelas bersemuka lebih berkesan. Namun, pembelajaran dalam talian berpotensi menjadi lebih efektif untuk pelajar pascasiswazah kerana mereka mempunyai keperluan dan tanggungjawab yang berbeza,” katanya.  Beliau turut menjelaskan bahawa beberapa universiti telah mengamalkan pendekatan hibrid dalam situasi tertentu seperti musim perayaan atau keadaan khas yang memerlukan sesi pembelajaran dijalankan secara dalam talian bagi memenuhi keperluan pelajar.

Perdebatan mengenai pembelajaran dalam talian dan pembelajaran bersemuka tidak mempunyai satu jawapan yang mutlak. Setiap kaedah mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri bergantung kepada individu, gaya pembelajaran serta tahap pengajian seseorang pelajar.

Pelajar menghargai suasana pembelajaran dan interaksi yang ditawarkan oleh kelas bersemuka, manakala para pendidik pula mengakui bahawa teknologi mampu menyediakan peluang pembelajaran yang lebih fleksibel.

Akhirnya, persoalannya bukanlah sama ada pendidikan perlu dilaksanakan secara dalam talian atau bersemuka sepenuhnya, tetapi bagaimana kedua-dua kaedah tersebut dapat digabungkan secara berkesan. Dalam era digital masa kini, persekitaran pembelajaran yang terbaik mungkin terletak pada gabungan interaksi, fleksibiliti dan teknologi.