Thrifting: Solusi Kelestarian atau Topeng Budaya Konsumsi Berlebihan?

 

Gambaran Kedai Bundle

Oleh: Athira binti Zainal Ariffin


Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, budaya thrifting atau membeli pakaian terpakai semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda. Kedai bundle yang suatu ketika dahulu dikaitkan dengan pilihan berjimat cermat kini menjadi destinasi popular bagi mereka yang mencari gaya unik, harga berpatutan dan alternatif kepada fesyen pantas (fast fashion).


Perkembangan ini turut didorong oleh peningkatan kesedaran terhadap isu alam sekitar. Ramai pengguna percaya bahawa membeli pakaian terpakai merupakan satu langkah kecil ke arah gaya hidup yang lebih lestari. Namun begitu, timbul persoalan sama ada amalan thrifting benar-benar membantu kelestarian alam sekitar atau sekadar menjadi alasan baharu untuk terus berbelanja secara berlebihan. 


Daya Tarikan Thrifting dalam Kalangan Anak Muda 


Salah satu faktor utama yang menjadikan thrifting popular ialah peluang untuk mendapatkan pakaian berkualiti pada harga yang lebih rendah berbanding produk baharu. Selain itu, pengalaman mencari barangan yang unik dan sukar ditemui di pasaran biasa turut memberikan kepuasan kepada pembeli.


 Nor Laila Sofia, 24, seorang pelajar tahun akhir di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), mengakui bahawa harga yang berpatutan menjadi antara sebab beliau gemar membeli pakaian bundle. 


“Mestilah selamat. Beli baju bundle kadangkala menjimatkan duit. Sebab kita perempuan, pakaian takkan pernah cukup satu helai. Bagi sesetengah orang yang bukan ‘outfit repeater’, bundle adalah pilihan yang selamat,” katanya.


Pandangan tersebut menunjukkan bahawa selain faktor kelestarian, elemen gaya hidup dan kepelbagaian fesyen turut mempengaruhi keputusan pengguna untuk membeli pakaian terpakai.


Thrifting dan Kelestarian Alam Sekitar


 Dari perspektif alam sekitar, thrifting sememangnya mempunyai beberapa kelebihan. Apabila pakaian digunakan semula, permintaan terhadap pengeluaran pakaian baharu dapat dikurangkan. Secara tidak langsung, penggunaan sumber seperti air, tenaga dan bahan mentah juga dapat diminimumkan.


Professor Dr. Harozila Ramli dari Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif UPSI menjelaskan bahawa thrifting memainkan peranan penting dalam memanjangkan hayat sesuatu pakaian.


“Pada saya, thrifting lebih kepada memanjangkan kitaran hayat pakaian. Namun, apabila lebih banyak pakaian digunakan semula dan kurang dibuang, ia secara tidak langsung membantu mengurangkan sisa tekstil,” jelas beliau.


Pendekatan ini selari dengan konsep ekonomi sirkular yang menggalakkan penggunaan semula produk bagi mengurangkan pembaziran sumber. 


Risiko Konsumsi Berlebihan 


Walaupun thrifting sering dikaitkan dengan kelestarian, amalan tersebut tidak semestinya bebas daripada masalah. Harga yang murah kadangkala mendorong pengguna membeli lebih banyak pakaian daripada yang diperlukan.


Fenomena pembelian secara berlebihan ini boleh menyebabkan pengguna mengumpul pakaian yang akhirnya jarang dipakai. Dalam keadaan tertentu, corak pembelian tersebut tidak jauh berbeza daripada budaya fesyen pantas yang sering dikritik kerana menggalakkan penggunaan berlebihan.


Oleh itu, persoalan yang perlu diteliti bukan hanya tentang jenis pakaian yang dibeli, tetapi juga jumlah dan tujuan pembelian tersebut. 


Perspektif Industri Bundle


Bagi pengusaha bundle pula, kualiti produk memainkan peranan penting dalam memastikan industri ini terus mendapat kepercayaan pengguna.


Aqasha Azmi, 23, pemilik Azmi Bundle Kluang, menjelaskan bahawa pakaian yang dijual melalui perniagaannya telah melalui proses pemilihan yang teliti. 


“Kami sangat tegas apabila melibatkan dermaan. Walaupun ada kecacatan kecil, kami akan menolaknya atau menjualnya pada harga yang lebih rendah,” katanya.


Kenyataan ini menunjukkan bahawa sebahagian pengusaha bundle berusaha memastikan hanya pakaian yang masih berkualiti ditawarkan kepada pengguna. 


Cabaran di Peringkat Global


Walaupun thrifting memberi manfaat kepada pengguna dan alam sekitar dalam skala tertentu, isu pengurusan sisa tekstil di peringkat global masih menjadi cabaran. 


Peningkatan jumlah pakaian yang dihasilkan setiap tahun menyebabkan sebahagian besar tekstil berakhir sebagai sisa. Dalam banyak keadaan, negara-negara membangun menjadi destinasi utama bagi lambakan pakaian terpakai dari negara yang lebih maju.


Keadaan ini menunjukkan bahawa penyelesaian kepada isu fesyen lestari memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dan tidak boleh bergantung kepada amalan thrifting semata-mata. 


Kesimpulan 


Secara keseluruhannya, thrifting mempunyai potensi untuk menyokong usaha kelestarian dengan memanjangkan hayat pakaian dan mengurangkan pembaziran tekstil. Namun, manfaat tersebut hanya dapat dicapai sekiranya pengguna mengamalkan sikap membeli secara bertanggungjawab.


Apa yang lebih penting bukanlah sama ada pakaian itu baharu atau terpakai, tetapi bagaimana kita menggunakannya. Membeli pakaian yang benar-benar diperlukan, menjaga pakaian dengan baik dan memakainya dalam tempoh yang lama merupakan langkah yang lebih signifikan ke arah gaya hidup lestari. 


Oleh itu, thrifting boleh menjadi sebahagian daripada solusi kelestarian. Namun, tanpa kesedaran dan kawalan diri, ia berisiko menjadi satu lagi bentuk budaya konsumsi berlebihan yang bertentangan dengan matlamat asalnya.