Selat Hormuz Jadi Tumpuan, Trump Mahu Iran Penuhi Tuntutan Baharu



Oleh: Nur Aishah Umairah Binti Mat Rashid Dan Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hassan


WASHINGTON/DUBAI, 29 Mei – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memaklumkan bahawa beliau akan membuat keputusan dalam masa terdekat berhubung cadangan perjanjian untuk melanjutkan gencatan senjata dengan Iran. Namun begitu, kedua-dua negara masih mempunyai perbezaan pendapat mengenai beberapa isu penting yang menjadi punca konflik antara mereka.


Menurut Trump, cadangan tersebut bertujuan melanjutkan gencatan senjata yang bermula pada awal April selama 60 hari lagi. Tempoh tambahan itu diharapkan dapat memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk mencapai perjanjian damai yang lebih kekal.


Seorang pegawai Rumah Putih berkata mesyuarat khas yang diadakan di Situation Room berlangsung selama kira-kira dua jam, namun tidak mengesahkan sama ada keputusan telah dibuat atau belum. Pegawai itu turut menegaskan bahawa Trump hanya akan menerima perjanjian yang memenuhi kepentingan Amerika Syarikat serta memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear.


Sementara itu, sumber kanan Iran memaklumkan bahawa persetujuan hampir dicapai, namun masih belum mendapat kelulusan rasmi. Walau bagaimanapun, Trump menegaskan bahawa Iran perlu memenuhi dua syarat utama iaitu tidak membangunkan senjata nuklear dan membuka semula Selat Hormuz kepada semua kapal dagang tanpa sebarang sekatan atau bayaran tol.


Iran bagaimanapun tidak bersetuju dengan beberapa tuntutan tersebut. Agensi berita Fars yang berpangkalan di Iran menyifatkan kenyataan Trump sebagai usaha untuk menggambarkan kemenangan yang tidak wujud. Jurucakap Kementerian Luar Iran turut menegaskan bahawa pengurusan Selat Hormuz seharusnya ditentukan oleh Iran dan Oman.


Laporan media Iran juga menyatakan bahawa selat tersebut hanya akan dibuka semula mengikut syarat yang ditetapkan Tehran selepas Amerika Syarikat menarik balik sekatan terhadap kapal-kapal Iran. Selain itu, terdapat laporan bahawa sebanyak AS$12 bilion aset Iran yang dibekukan mungkin akan dilepaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut.


Walaupun begitu, Trump menafikan sebarang pemindahan wang akan dilakukan dalam masa terdekat. Beliau juga berdepan tekanan politik dalam negara untuk menurunkan harga minyak dan petrol menjelang pilihan raya Kongres Amerika Syarikat pada November ini.


Berita mengenai kemungkinan tercapainya perjanjian itu memberi kesan positif kepada pasaran dunia apabila harga minyak menurun dan pasaran saham menunjukkan peningkatan.


Konflik yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran sejak beberapa bulan lalu telah menyebabkan ribuan nyawa terkorban serta memberi kesan kepada ekonomi global, khususnya melalui kenaikan harga tenaga. Oleh itu, sebarang perjanjian yang berjaya dicapai dilihat berpotensi membantu meredakan ketegangan di rantau Timur Tengah dan menstabilkan ekonomi dunia.


Sumber - reuters