Oleh: Nur Aishah Umairah binti Mat Rashid Dan Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hassan
TANJONG MALIM, 13 April – Dalam dunia yang serba digital hari ini, media sosial menjadi antara platform utama masyarakat mendapatkan maklumat dan berita semasa. Namun, kemudahan tersebut turut membuka ruang kepada penyebaran berita palsu yang semakin sukar dibendung. Hanya dengan satu perkongsian, sesuatu maklumat boleh tersebar kepada ribuan pengguna dalam masa yang singkat. Malangnya, tidak semua maklumat yang tular adalah benar dan telah disahkan kesahihannya. Keadaan ini menyebabkan ramai pengguna mudah terpedaya dengan berita yang tidak tepat.
Menurut Azreen Omar, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), masyarakat terutama golongan pelajar perlu lebih berhati-hati ketika mendapatkan maklumat daripada media sosial.
“Zaman kini, nak cari berita betul tak boleh berlandaskan media sosial semata-mata sebab kebanyakan berita palsu kita banyak dapat dekat media sosial. Sebagai pelajar, nak cari maklumat kena betul-betul, tak boleh main ambil dan percaya sahaja,” katanya.
Beliau berkata, sikap terlalu mudah mempercayai sesuatu maklumat tanpa membuat semakan boleh menyebabkan berita palsu terus tersebar dalam masyarakat. Tambahnya, pelajar perlu membiasakan diri untuk merujuk kepada sumber yang lebih dipercayai seperti portal berita rasmi dan laman web yang mempunyai kredibiliti.
Penyebaran berita palsu bukan sahaja boleh mengelirukan orang ramai, malah berpotensi menimbulkan salah faham dan keresahan dalam masyarakat. Dalam sesetengah keadaan, maklumat yang tidak tepat boleh memberi kesan kepada reputasi individu serta mencetuskan pelbagai spekulasi.
Seiring dengan perkembangan teknologi, masyarakat kini perlu menjadi pengguna media yang lebih bijak. Kemahiran menilai dan menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi menjadi semakin penting, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang banyak bergantung kepada media sosial dalam kehidupan seharian.
Justeru, kesedaran mengenai bahaya berita palsu perlu dipupuk agar masyarakat lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial. Sikap menyemak fakta sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu berita mampu membantu mengurangkan penularan maklumat palsu dan mewujudkan persekitaran media yang lebih sihat.