Oleh: Rogayah Mamat & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Tanjong Malim, 20 Mei 2026 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menganjurkan program Bloom of Appreciation: Sambutan Hari Guru 2026 Peringkat UPSI sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para pendidik dalam membimbing generasi masa hadapan. Program yang berlangsung di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) itu diadakan bagi menyemarakkan sambutan Hari Guru dalam kalangan mahasiswa di samping memupuk budaya menghargai jasa guru dan pensyarah.
Pelbagai pengisian menarik telah diadakan sepanjang program berlangsung termasuk nyanyian lagu Negaraku dan lagu negeri Perak, ucapan daripada wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), ucapan tetamu jemputan serta persembahan khas daripada murid Sekolah Seri Budiman dan pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP).
Selain itu, program turut diserikan dengan nyanyian lagu Guru Malaysia, bacaan ikrar guru, bacaan ikrar belia serta sesi bergambar sebagai penutup acara.
(Gambar Pelajar Hadir Majlis Sambutan Hari Guru)
Menurut seorang mahasiswa yang hadir, Siti Rosmaliza binti Ramlee, yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan Teater Semester 4 dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, program tersebut memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengenali pelajar daripada fakulti lain selain mengeratkan hubungan sesama warga kampus.
Selain itu, Alisya Zulkarnain pula menyatakan bahawa sambutan seperti ini dapat meningkatkan penghargaan mahasiswa terhadap jasa para pendidik yang sentiasa berusaha mendidik dan membimbing pelajar ke arah kecemerlangan.
Sementara itu, pihak penganjur berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memupuk semangat kebersamaan serta memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan warga pendidik di universiti.
Penganjuran Sambutan Hari Guru UPSI 2026 dilihat bukan sahaja mampu menghargai pengorbanan guru dan pensyarah, malah menjadi platform untuk menyatukan mahasiswa daripada pelbagai fakulti melalui aktiviti yang bermanfaat dan penuh penghayatan.