Oleh: Rogayah Mamat & Dr. Ahmad Saufiyyan Abu Hasan
TANJONG MALIM, 20 Mei 2026 – Exco Perpaduan dan Integrasi, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) Sidang 2025/2026 telah menganjurkan Program Pesta Serambi Desa: “Rona Budaya Malaysia” di Dewan Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi memupuk semangat perpaduan dan memperkenalkan keunikan budaya masyarakat Malaysia kepada mahasiswa serta masyarakat luar.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 malam hingga 11.00 malam itu berjaya menarik kehadiran seramai 242 pengunjung termasuk warga luar UPSI yang hadir bagi memeriahkan sambutan malam kebudayaan tersebut. Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan sepanjang program berlangsung seperti persembahan kebudayaan pelbagai kaum, booth pameran dan jualan, photobooth, permainan tradisional serta cabutan bertuah yang berjaya menarik perhatian para pengunjung.
Selain itu, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai persembahan tradisional yang mengetengahkan keunikan budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia sekali gus memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai warisan budaya tempatan.
Menurut AJK Pendaftaran dan Sijil program, Sharifah Nur Aleeya Maisara binti Syed Khairil Akbar yang juga merupakan pelajar Semester 4, Diploma Business Administration (Financial Services), program seperti ini wajar diteruskan pada masa akan datang kerana generasi muda kini semakin kurang didedahkan dengan seni budaya tradisional.
“Program seperti ini penting untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai budaya tradisional seperti tarian dan silat yang semakin kurang dikenali oleh generasi muda hari ini,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa sambutan yang diterima daripada mahasiswa dan masyarakat luar menunjukkan masih terdapat minat terhadap program bercorak kebudayaan sekiranya aktiviti seperti ini terus diperkasakan.
Sementara itu, seorang peserta program Nuril Alifah Ilyana, Semester 4 Komunikasi Sosial, turut berpendapat bahawa Pesta Serambi Desa berjaya memberikan pengalaman yang menyeronokkan kepada pengunjung melalui persembahan yang unik dan pelbagai.
“Program ini sangat menarik kerana terdapat banyak persembahan unik dan tidak membosankan untuk ditonton,” katanya.
Penganjuran program tersebut dilihat bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan antara mahasiswa pelbagai kaum, malah menjadi platform penting dalam usaha memelihara dan menghargai warisan budaya Malaysia dalam kalangan generasi muda.
Program berakhir dengan suasana meriah hasil kerjasama pelbagai pihak yang menjayakan malam kebudayaan tersebut.