Serenada Senja, Menyapa Budaya: Warisan Borneo Menghimpunkan Mahasiswa di Universiti Malaya Penyertaan warga UPSI dalam Sabah Fiesta 2026 membuktikan budaya mampu menjadi jambatan perpaduan merentasi sempadan negeri dan institusi.
Pentas utama Sabah Fiesta 2026 menjadi medan apresiasi seni, budaya dan identiti Sabah. |
Pentas utama Sabah Fiesta 2026 menjadi medan apresi
Oleh: Muhamad Irfan Izuddin
KUALA LUMPUR – Di tengah-tengah arus pemodenan yang semakin pesat, usaha memelihara warisan tradisional terus menjadi tanggungjawab generasi muda. Berlandaskan semangat tersebut Sabah Fiesta 2026 yang bakal berlangsung pada 6 Jun 2026 di Gazebo Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya hadir sebagai sebuah acara yang mengetengahkan keindahan seni, adat dan identiti masyarakat Negeri Di Bawah Bayu kepada komuniti kampus yang lebih luas.
Mengangkat tema “Serenada Senja, Menyapa Budaya”, penganjuran ini bukan sekadar menjadi medan hiburan, malah berfungsi sebagai wadah memperkenalkan kepelbagaian warisan etnik Sabah kepada mahasiswa dari pelbagai latar belakang. Acara yang menghimpunkan pelajar daripada institusi pengajian tinggi seluruh negara itu dijangka menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti pertandingan Voice of Sabah 2026, pencarian Mr. & Ms. Sabah, persembahan kesenian tradisional serta pelbagai aktiviti yang mencerminkan keunikan budaya masyarakat Borneo.
Apa yang lebih membanggakan adalah apabila terdapat penyertaan daripada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam pertandingan Voice of Sabah 2026 menerusi penyertaan Aylord Joy Phillipe Shoibih dan Ronald Salutin Serta pertandingan Mr and Miss Sabah oleh Dealfonso Maipol dan Josepha Jonis. Kehadiran para pelajar ini bukan sahaja membawa nama universiti ke pentas antara institusi malah membuktikan bahawa bakat anak Sabah terus berkembang dan mendapat tempat dalam kalangan generasi muda masa kini.
Penyertaan tersebut turut memperlihatkan komitmen mahasiswa UPSI dalam mengangkat identiti negeri asal mereka walaupun berada jauh dari tanah kelahiran. Melalui pertandingan nyanyian dan penglibatan dalam pelbagai aktiviti kesenian mereka berpeluang memperkenalkan keindahan bahasa, muzik serta nilai tradisional yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Sabah kepada khalayak yang lebih besar.
Bagi anak-anak Sabah yang menuntut di Semenanjung himpunan seperti ini membawa makna yang cukup mendalam. Selain menjadi ruang berkumpul bersama rakan-rakan yang berkongsi latar budaya yang hampir sama suasana yang diwujudkan mampu mengembalikan nostalgia kampung halaman melalui lagu-lagu etnik, pakaian tradisional serta persembahan yang mencerminkan kehidupan masyarakat di Sabah. Pengalaman sebegini secara tidak langsung membantu mengekalkan rasa kebersamaan dalam kalangan perantau yang sedang menempuh kehidupan sebagai pelajar universiti.
Pada masa yang sama, warga kampus dari Semenanjung turut memperoleh manfaat yang tidak kurang pentingnya. Pendedahan kepada adat resam, kesenian dan cara hidup masyarakat Sabah membolehkan mereka memahami dengan lebih dekat kepelbagaian yang membentuk identiti Malaysia. Interaksi sebegini mampu memupuk sikap saling menghormati, menghargai perbezaan serta memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Menurut Calvina Fiona koyou salah seorang warga kampus yang hadir ke acara tersebut berkata, “Program yang kian kali dijalankan ini bukan sahaja mampu mempromosikan budaya orang Sabah malah menjadi platfom kepada Mahasiswa menyerlahkan bakat mereka dalam pelbagai acara yang dipertandingkan”. Menurutnya, penglibatan mahasiswa daripada pelbagai universiti bukan sahaja memperkayakan pengalaman peserta malah membantu membina hubungan yang lebih erat antara komuniti kampus dari seluruh Malaysia.
Selain memperkukuhkan jati diri budaya, penyertaan dalam acara seumpama ini turut memberi nilai tambah kepada pembangunan diri mahasiswa. Pengalaman berinteraksi dengan peserta daripada institusi lain, mengurus persembahan serta menampilkan bakat di hadapan khalayak ramai mampu meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan kebolehan bekerja dalam pasukan. Nilai-nilai tersebut merupakan antara aspek penting yang diperlukan oleh graduan dalam menghadapi cabaran dunia profesional pada masa hadapan.
Dalam era global yang semakin dipengaruhi oleh budaya antarabangsa, usaha memperkenalkan serta memelihara khazanah tempatan perlu diteruskan agar tidak luput ditelan zaman. Sabah Fiesta 2026 membuktikan bahawa seni dan tradisi masih mempunyai tempat dalam kehidupan generasi muda apabila diberikan ruang yang sesuai untuk dihargai dan dikongsi bersama masyarakat.
Secara keseluruhannya, penganjuran Sabah Fiesta 2026 bukan sekadar meraikan keunikan budaya Negeri Di Bawah Bayu, tetapi turut menjadi jambatan yang menghubungkan mahasiswa Sabah, Sarawak dan Semenanjung melalui semangat saling mengenali dan menghormati. Bertepatan dengan tema “Serenada Senja, Menyapa Budaya”, acara ini dilihat mampu memperkukuhkan perpaduan, menyemarakkan penghargaan terhadap warisan negara serta melahirkan generasi muda yang lebih memahami kepelbagaian budaya Malaysia.