SUKSIS UPSI: PLATFORM MELAHIRKAN MAHASISWA BERDISIPLIN DAN BERKEPEMIMPINAN

Majlis Perbarisan Tamat Latihan & Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Sukarelawan Polis Siswa Siswi Polis

Ditulis oleh: Aina Qistina


TANJONG MALIM - Kehidupan di universiti bukan sekadar tertumpu kepada kuliah dan tugasan akademik. Bagi sesetengah mahasiswa, pengalaman di kampus turut diperkaya melalui penglibatan dalam aktiviti kokurikulum yang mampu membentuk sahsiah, disiplin dan kepimpinan. Salah satu unit beruniform yang memainkan peranan tersebut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ialah Kor Sukarelawan Siswa Siswi Polis (SUKSIS).


SUKSIS merupakan sebuah pasukan beruniform yang diwujudkan hasil kerjasama antara institusi pengajian tinggi awam dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Penubuhannya bertujuan melahirkan mahasiswa yang berdisiplin, berintegriti serta mempunyai semangat patriotisme yang tinggi. Di UPSI, Kor SUKSIS telah ditubuhkan pada 13 Ogos 2005 dan terus menjadi antara unit beruniform yang aktif dalam membangunkan potensi mahasiswa di luar bilik kuliah.  


Penubuhan SUKSIS bukan sekadar memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai dunia kepolisan, malah bertujuan membentuk individu yang mempunyai ketahanan mental dan fizikal, berfikiran matang serta mampu memikul tanggungjawab dengan baik. Melalui latihan dan kursus yang dijalankan, anggota didedahkan kepada pelbagai aspek kepolisan, undang-undang dan keselamatan yang membantu membentuk jati diri mereka sepanjang tempoh pengajian. 


Antara kelebihan utama menyertai SUKSIS ialah dapat membentuk disiplin diri. Anggota SUKSIS perlu memberikan komitmen yang tinggi sepanjang tempoh latihan yang berlangsung selama tiga tahun. Setiap hujung minggu, mereka perlu hadir ke padang kawad seawal jam 6.00 pagi untuk menjalani latihan kawad yang dikendalikan oleh jurulatih dan pegawai yang bertugas. 


Selepas sesi kawad, anggota akan mengikuti kelas undang-undang yang memberi pendedahan kepada aspek perundangan, prosedur kepolisan serta pengetahuan berkaitan keselamatan dan penguatkuasaan. Aktiviti latihan kemudiannya diteruskan dengan pelbagai aktiviti riadah dan pembangunan diri sehingga sekitar jam 6.00 petang. Jadual yang padat ini memerlukan anggota mengurus masa dengan baik bagi memastikan prestasi akademik dan komitmen latihan dapat diseimbangkan. 


Rutin mingguan yang konsisten inilah yang membantu membentuk mahasiswa yang lebih berdisiplin dan kental. Kehadiran awal ke latihan, kepatuhan terhadap arahan serta keupayaan mengurus pelbagai tanggungjawab dalam satu masa menjadikan anggota SUKSIS lebih bersedia menghadapi cabaran sepanjang pengajian dan kehidupan selepas graduasi. 


Menurut Hurin Batrisya binti Ahmad Zahit, seorang anggota SUKSIS UPSI berkata bahawa latihan kawad, kelas undang-undang dan aktiviti riadah yang dijalankan setiap minggu banyak membantu dirinya menjadi individu yang lebih cekap dalam mengurus pelbagai komitmen. 


“Setiap minggu kami perlu hadir seawal pagi untuk latihan dan mengikuti pelbagai aktiviti sehingga petang. Pada mulanyamemang mencabar untuk membahagikan masa antara akademik dan SUKSIS, tetapi pengalaman itu mengajar saya untuk menjadi lebih berdisiplin serta mampu mengurus pelbagai tanggungjawab dalam satu masa,” katanya. 


Selain membentuk disiplin diri, penyertaan dalam SUKSIS turut membuka peluang kepada mahasiswa untuk mengikuti pelbagai program dan amali kepolisan yang jarang diperoleh melalui aktiviti kokurikulum biasa. Antara pengalaman yang sering menjadi tarikan ialah kursus menembak yang memberi pendedahan kepada aspek keselamatan dan pengendalian senjata api mengikut prosedur yang ditetapkan. 


Di samping itu, anggota SUKSIS juga berpeluang terlibat dalam amali kepolisan seperti kawalan lalu lintas, operasi sekatan jalan raya (roadblock) serta aktiviti penguatkuasaan lain yang dijalankan dengan pemantauan pihak PDRM. Penglibatan dalam aktiviti sebegini memberikan gambaran sebenar mengenai tugas dan tanggungjawab anggota polis dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. 


Selain membentuk disiplin dan kepimpinan, pengalaman menjalani latihan, kursus dan pelbagai program sepanjang tiga tahun turut mengeratkan hubungan sesama anggota SUKSIS. Pengalaman yang dilalui bersama menjadikan setiap skuad bukan sekadar rakan seperjuangan, malah seperti sebuah keluarga. 


Hubungan yang terbina dalam kalangan anggota sering disifatkan sebagai antara kenangan paling berharga sepanjang tempoh latihan. Semangat setia kawan dan kerjasama yang dipupuk membantu mereka mengharungi pelbagai cabaran bersama, malah hubungan tersebut lazimnya berterusan walaupun selepas tamat pengajian.

Dalam aspek kerjaya pula, penyertaan dalam SUKSIS memberikan nilai tambah yang signifikan kepada mahasiswa. Kemahiran seperti kepimpinan, disiplin, pengurusan masa dan kebolehan bekerja dalam pasukan merupakan antara ciri yang sering dicari oleh majikan. Selain itu, pendedahan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang keselamatan, pertahanan atau sektor awam pada masa hadapan. 


Setelah berjaya menamatkan latihan, anggota SUKSIS akan ditauliahkan sebagai Kor SImpanan Siswa Siswi Polis. Pentauliahan ini menjadi simbol pengiktirafan terhadap komitmen, usaha dan latihan yang telah mereka lalui sepanjang berada dalam program SUKSIS. 


Secara keseluruhannya, SUKSIS UPSI bukan sekadar sebuah unit beruniform, tetapi merupakan platform yang berperanan besar dalam melahirkan mahasiswa yang berkualiti dari segi sahsiah, disiplin dan kepimpinan. Melalui pelbagai latihan, amali kepolisan dan pengalaman yang ditawarkan, SUKSIS terus menjadi medium penting dalam membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai jati diri yang kukuh serta bersedia menyumbang kepada masyarakat dan negara.